Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazri: Impian Malaysia Kuok masih jauh kerana realiti politik

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata beliau tidak mempunyai apa-apa masalah dengan pendapat taikun Tan Sri Robert Kuok berkenaan Malaysia berada di landasan yang salah dan menggambarkan pendapat itu sebagai wajar.

Bagaimanapun, Nazri berkata apa gesaan yang dibuat Kuok sukar untuk dilaksanakan.

“Realiti politik di negara ini adalah tidak mudah untuk kita laksanakan apa yang dia (Kuok) rasa.

“Namun tiada apa-apa yang salah tentang (pendapatnya) itu. Ia adalah pendapat yang wajar,” kata Nazri kepada Malaysiakini.

Kuok dalam buku autobiografinya bertajuk Robert Kuok: A Memoir menyatakan beliau pernah berjumpa Tun Hussein Onn bagi memohon perdana menteri ketika itu agar melibatkan golongan cerdik dalam kerajaan berbanding bergantung kepada sistem berdasarkan kaum.

Menurut Kuok, Tun Hussein menjawab dengan berkata: “Tidak, Robert. Saya tidak boleh lakukan itu. Orang Melayu berada di tahap pemikiran yang akan buat mereka tidak boleh terima perkara itu.”

Perjumpaan itu dikatakan terjadi beberapa tahun selepas rusuhan kaum pada 1969.

Tokoh perniagaan itu, yang sejak itu berpindah ke Hong Kong berkata beliau tahu Tun Hussein faham mesej yang cuba disampaikan.

“Saya sudah melihat gambaran perkembangan negara yang bergerak ke arah yang salah. Ketika pentadbiran Tun Hussein, beliau cuma berjaya menghentikan sebahagian daripadanya.

“Negara diletakkan di landasan yang salah. Hussein tidak cukup kuat untuk membetulkan dan membawa negara ke landasan yang betul,” kata Kuok dalam memoirnya itu.

Nazri yang juga merupakan menteri pelancongan dan kebudayaan berkata beliau berharap agar apa yang Kuok sampaikan kepada Tun Hussein dapat dilaksanakan pada masa akan datang.

“Satu hari nanti saya berharap ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datu Seri Salleh Said Keruak memberitahu Malaysiakini bahawa daripada ulasan memoir Kuok setakat ini, beliau percaya pandangan yang terdapat dalam momoir itu pasti menarik untuk membayangkan kehidupan dan politik 60 tahun lalu.

Bagaimanapun, Salleh menegaskan kehidupan ketika itu dan hari ini berbeza.

“Jadi membandingkan pentadbiran Tunku Abdul Rahman dengan pentadbiran hari ini sama seperti membandingkan era Winston Churchill dengan United Kingdom hari ini.

“Ramai kata Churchill tidak akan diterima sebagai perdana menteri oleh kebanyakan warga Britain hari ini kerana masa telah berubah, gaya juga perlu berubah,” katanya.

Lihat Komen
ADS