Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali belum memfailkan saman terhadap blogger Raja Petra Kamaruddin berhubung artikel yang menurut Apandi telah memfitnahnya.

Menurut Apandi, ini kerana Raja Petra telah didapati "muflis".

"Saya masih mempertimbangkannya, sebelum ini saya periksa (dan dapati) dia telah bankrap.

"Jadi saya sedang memikirkan sama ada berbaloi atau tidak melawan seorang yang bankrap. Saya menghabiskan wang dan akhirnya tak dapat apa-apa (pulangan).

"Saya masih memikirkannya," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di mesyuarat Pejabat Peguam Negara ke-8 antara Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, di Putrajaya pagi ini.

Pada 22 Oktober lalu, Apandi berikrar akan tetap menyaman Raja Petra dan kemudian membuat laporan polis terhadapnya atas dakwaan fitnah jenayah.

Raja Petra yang kini tinggal di United Kingdom menyiarkan artikel bersiri dengan "Strong Rumours Surrounding the AG" bulan lalu, yang mendakwa Apandi terlibat dengan rasuah ketika menjadi hakim Mahkamah Persekutuan.

Apandi menafikan dakwaan itu, menggelarkannya sebagai "berita palsu".

Mahkamah yang putuskan soal Lingam

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerajaan akan menggunakan cara seperti Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dalam Akta Perkara Jenayah 2002 untuk menangkap peguam Datuk VK Lingam (gambar) yang kini di luar negara atas kesalahan menghina mahkamah, Apandi berkata mahkamah yang akan menentukannya.

"Hukuman untuk menghina mahkamah.

"Maka sama ada mereka (mahkamah) mahu, soalan itu patut ditanya kepada mahkamah," katanya lagi.

Awal bulan ini, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan Lingam bersalah menghina mahkamah kerana menuduh seorang panel hakim terlibat dalam plagiarisme, dan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kepadanya.

Lingam, 66 tahun, tidak hadir di mahkamah ketika itu mahupun pada sesi pendengaran. Beliau dipercayai berada di Amerika Syarikat.