Bekas penasihat Hindraf diarah bayar RM50K pada Guan Eng, Ramasamy
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengarahkan bekas penasihat Hindraf N Ganesan untuk membayar ganti rugi RM50,000 seorang kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng dan timbalannya P Ramasamy atas kesalahan memfitnah.
Ganesan dalam sidang media 4 Disember 2013 mendakwa Lim dan Ramasamy menghantar samseng untuk mengganggu forum tertutup sebuah NGO beberapa hari sebelum itu.
Hakim Datuk Lim Chong Fong yang menyampaikan penghakiman itu hari ini juga mengarahkan beliau membayar kos RM25,000 secara sekali gus kepada plaintif.
“Guan Eng dan Ramasamy adalah penjawat awam berpangkat tinggi, yang boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnah dan membuat kenyataan kenyataan tidak benar terhadap mereka.
“Pihak defendan gagal membuktikan bahawa terdapat samseng dihantar oleh Guan Eng dan Ramasamy untuk mengganggu forum itu,” kata hakim.
Lim dan Ramasamy juga memfailkan saman terhadap New Straits Times dan bekas wartawannya Predeep Nambiar berhubung artikel bertajuk "Indian-interest group claims thugs interrupted meeting" pada 4 Disember 2013.
Pada 6 September tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah Lim dan Ramasamy terhadap defendan-defendan.
Mahkamah mengarahkan harian berbahasa Inggeris itu untuk membayar RM200,000 kepada setiap seorang, termasuk kos RM50,000.
[Baca berita asal]

