Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Piring hitam hadiah pun Jokowi isytihar ke badan antirasuah
Diterbitkan:  Nov 29, 2017 4:56 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

GLOBAL | Presiden Indonesia Joko Widodo bercadang membuat pengisytiharan kepada badan antirasuah negara itu selepas menerima hadiah istimewa daripada pemimpin Denmark.

Malah menurut Komisi Pembanterasan Rasuah (KPK) itu, ia bukan sesuatu yang asing buat pemimpin popular terbabit.

Salah seorang pemimpin KPK, Giri Suprapdiono, presiden yang lebih dikenali ramai dengan nama Jokowi itu sudah beberapa kali membuat pengisytiharan hadiah yang diterimanya kepada agensi berkenaan.

"Tindakan beliau memang wajib dicontohi pemimpin lain," katanya hari ini.

Semalam Perdana Menteri Denmark Lars Lokke Rasmussen menghadiahkan Jokowi piring hitam edisi khusus kumpulan heavy metal AS, Metallica, semasa kedua-duanya bertemu di Bogor.

Hadiah itu ternyata mengejutkan Jokowi yang memang dikenali seorang peminat muzik heavy metal.

"Rasmussen memahami (muzik) kegemaran saya," katanya dengan senyum lebar seperti dipetik The Jakarta Post.

Sebagai balasan, Jokowi menghadiahkan sebilah rencong (belati) yang menjadi senjata tradisional dari Aceh.

Album dihadiahkan Ramussen itu mengandungi lapan lagu klasik Metallica termasuk Disposable Heroes dan The Things That Should Not Be.

Ia adalah terbitan sempena sambutan 30 tahun Metallica dan baru berada di pasaran pada 10 Nov lalu.

 

 

Berdasarkan gambar yang beredar di internet album berkenaan dilihat mempunyai tandatangan pemain dram Metallica, Lars Ulrich, yang lahir di Denmark tetapi berpindah ke Los Angeles ketika berusia 16 tahun.

Kata Giri KPK sangat menghargai sikap dan niat Jokowi membuat pengisytiharan berkenaan walaupun ia sekadar piring hitam.

Niat Jokowi itu dimaklumkan kepada umum oleh salah seorang pegawai kanannya, Johan Budi Sapto Pribowo.

Kata Johan Jokowi akan mengisytiharkan hadiah itu kepada KPK dalam tempoh terdekat.

Beberapa bulan lalu, Jokowi mengisytiharkan dua ekor kuda dari Sumbawa yang dihadiahkan penduduk Nusa Tenggara Timur.

Selepas diteliti KPK memutuskan kuda berkenaan menjadi milik kerajaan dan diuruskan kerajaan.

Pada 2014 - selepas Jokowi disahkan memenangi pilihan raya presiden Indonesia - penyanyi kumpulan Lamb Of God, Randy Blythe mengumumkan bekas ahli perniagaan perabot itu sebagai "presiden heavy metal pertama dunia".

Untuk rekod, KPK ialah sebuah badan bebas dan berpengaruh di Indonesia. Ia tidak tertakluk kepada mana-mana jabatan atau kementerian, dan mempunyai kuasa mendakwa di mahkamah.

Keadaan itu membuat KPK digeruni.

Dalam beberapa kes, hubungan kerajaan dan KPK pernah tegang ekoran ketegasan agensi berkenaan mengambil tindakan terhadap pegawai kanan parti atau pemimpin negara.

Lihat Komen
ADS