Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERNAS digesa henti tindakan undang-undang terhadap Rescue Padi

PARLIMEN I Seramai 83 anggota parlimen pembangkang menggesa kerajaan mengarahkan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) agar menghentikan tindakan undang-undang terhadap Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue).

Gesaan itu susulan tindakan BERNAS yang mengeluarkan notis undang-undang mahu menyaman Padi Rescue, badan bukan kerajaan (NGO) yang sering mengkritik BERNAS.

"Kami berpegang teguh bahawa hak sah semua rakyat Malaysia untuk meneliti dan menyoal prestasi dan peranan awam BERNAS.

"Kami mengecam tindakan BERNAS yang menakut-nakutkan serta cuba mendiamkan Padi Rescue dengan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang," kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang medianya di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Azizah berkata demikian mengulas tindakan BERNAS terhadap Padi Rescue setelah NGO berkenan menyerahkan memorandum bertajuk "Bernas Gagal, Kembalikan Fungsi LPN" kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya baru-baru ini.

Sementara itu, mereka juga mengulangi gesaan Padi Rescue agar Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) ditubuhkan semula memandangkan BERNAS merupakan syarikat persendirian.

"BERNAS sebagai sebuah syarikat persendirian yang merupakan entiti komersial yang berpaksikan kepada keuntungan adalah tidak layak untuk menguruskan industri padi negara," katanya.

Hadir sama dalam sidang media itu Khalid Samad (AMANAH- Shah Alam), Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani), Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), Teressa Kok (DAP-Seputeh), Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput).

Lihat Komen
ADS