Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PARLIMEN l Kementerian Pelancongan hari ini mempertahankan tindakan Tourism Malaysia melantik pemain bola terkemuka Luis Suarez sebagai duta pelancongan negara, walaupun memiliki sejarah masalah disiplin di atas padang.

Ia selepas Hee Loys Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) mempersoalkan lantikan itu dengan mengatakan Suarez memiliki masalah disiplin dan pernah beberapa kali digantung perlawanan kerana menggigit telinga pemain lawan.

"Pemain ini ada masalah disiplin. Kenapa lantik sebagai duta pelancongan Malaysia? Saya rasa ini satu langkah yang kurang bijaksana," katanya ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau pada mulanya meminta Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz menjelaskan sebab pemilihan dan nilai kontrak yang dibayar kepada Suarez.

Menjawab isu itu, Nazri berkata antara sebab penyerang kelab bola sepak Sepanyol, FC Barcelona itu dilantik adalah mempunyai pengaruh yang besar di media sosial.

"Jika dia jahat sangat, tak kan (pengikut) di Instagram sampai 25.3 juta, Facebook 18.9 juta, dan Twitter 12.4 juta.

"Jangan kita hukum orang semata-mata kerana apa yang berlaku di masa lalu. Ada MP di sini perangai teruk, tetapi ada penyokong juga," katanya.

Menerusi kerjasama dengan FC Barcelona, katanya lagi, promosi pelancongan Malaysia akan ditayangkan di 18 stadium ketika perlawanan bola sepak La Liga yang diikuti di seluruh dunia.

"Statistik ini menunjukkan dia seorang pemain yang popular. Kita bukan nak iklankan (negara) di Sepanyol, yang penting 445 juta penontonnya di China dan 225 juta di Asia," katanya.

Nazri berkata, kerajaan membelanjakan sejumlah RM7.5 juta untuk kempen itu, termasuk RM4.4 juta bagi pengiklanan.

"RM3.1 juta untuk kos empat video berdurasi 60 saat (setiap video), menampilkan Suarez mempromosikan destinasi pelancongan, budaya, makanan dan sukan tradisional di Malaysia melalui media sosialnya dan Tourism Malaysia," katanya.

Awal bulan ini, Tourism memeterai kerjasama selama setahun dengan pemain kebangsaan Uruguay berusia 30 tahun itu.

Untuk rekod, Suarez ketika bermain untuk kelab Liverpool FC digantung 10 perlawanan selepas menggigit pemain Chelsea Branislav Ivanovic pada 2013. Setahun kemudian, beliau digantung 9 perlawanan untuk negaranya, selepas menggigit pemain Italy Giorgio Chiellini pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia 2014.
 

Lihat Komen
ADS