Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Kerajaan guna tablet untuk selamatkan Utusan
Diterbitkan:  Nov 30, 2017 12:15 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Anggota parlimen Bukit Mertajam Steven Sim mempertikaikan pemberian kontrak pembekalan tablet bantuan mengajar ratusan juta ringgit kepada Utusan Melayu (Malaysia) Sdn Bhd.

“Bagaimana sebuah syarikat surat khabar yang mengalami kerugian tiap-tiap tahun boleh diberi kontrak RM340 juta membekalkan komputer tablet?” soal wakil rakyat pembangkang itu.

Memetik Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan, Sim berkata, sebanyak 182,712 tablet telah diagihkan dengan perbelanjaan sebanyak RM152 juta.

Sim berkata sebanyak 430,000 orang guru telah dijanjikan tablet itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2017 tahun lepas.

Ia ketika itu dijangka menelan belanja RM340 juta.

Dalam kenyataan hari ni, Sim membangkitkan keadaan Utusan yang menurutnya kerugian hampir RM220 juta, daripada tahun 2013 sehingga ke suku ke-2 tahun 2017.

Malah, katanya, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Zainuddin Maidin sendiri menggelar Utusan sebagai syarikat “sakit” kerana kelewatan membayar gaji pekerja sebelum ini.

Sim berkata, mengikut laporan Biro Audit Pengedaran pada Mei 2017, pengedaran Utusan Malaysia merosot 14 peratus (lebih 20,000 naskhah) manakala Mingguan Malaysia merosot 10 peratus (lebih 30,000 naskhah).

“Justeru, Utusan Malaysia yang merupakan alat propaganda Umno kini sebenarnya sedang sakit tenat,” katanya.

“Oleh itu, pelantikan syarikat Utusan sebagai kontraktor bagi projek tablet bernilai RM340 juta ini boleh dikatakan sebagai satu talian hayat yang dihulur oleh kerajaan pusat kepada Utusan.”

Lihat Komen
ADS