Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM reman anak saudara MB Selangor 7 hari
Diterbitkan:  Nov 30, 2017 12:33 PM
Dikemaskini: 4:38 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan anak saudara Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan tiga individu lagi atas dakwaan terlibat dalam perlombongan pasir dan batu secara haram.

NST Online hari ini melaporkan, ketiga-tiganya direman selama tujuh hari sehingga 6 Disember untuk membantu siasatan.

Menurut laporan itu lagi, siasatan SPRM menunjukkan syarikat perlombongan pasir itu didakwa merasuah pegawai kerajaan tempatan di Kajang - tempat syarikat itu beroperasi sejak 2014.

"Difahamkan pegawai itu didakwa dirasuah agar tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan itu," kata NST Online.

Terdahulu, sumber SPRM mengesahkan kepada Malaysiakini yang anak saudara Azmin adalah salah seorang yang ditahan.

Menurut laporan itu lagi, suspek, termasuk dua pengarah syarikat, seorang pengurus tapak projek dan seorang pekerja syarikat pengiklanan, dibawa ke mahkamah hari ini, lengkap berpakaian lokap SPRM berwarna jingga.

Keempat-empat suspek yang berusia antara 34 hingga 67 tahun, ditahan dalam satu operasi khas yang bermula pukul 10 pagi semalam.

Terdahulu, Bernama melaporkan SPRM turut membekukan beberapa akaun syarikat terbabit bernilai RM4 juta.

"Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan terhadap aktiviti perlombongan pasir dan batu secara haram di sebuah lokasi di Kajang sejak 2014.

"Pasukan penyiasat memeriksa beberapa lori disyaki membawa pasir haram dalam satu operasi dilancarkan 10 pagi semalam dan beberapa akaun syarikat terbabit bernilai RM4 juta dibekukan," kata sumber SPRM kepada Bernama.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan tangkapan tersebut.
 

Lihat Komen
ADS