Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendengaran jaminan kos kes Bilal Philips-Zamihan 19 Jan ini

Mahkamah menetapkan 19 Januari ini bagi sesi pendengaran untuk jaminan kos dalam kes saman RM1 juta yang difailkan pendakwah Kanada Abu Ameenah Bilal Philips terhadap penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin.

Jaminan kos boleh dikenakan jika plaintif yang memfailkan saman adalah bukan warganegara dan dikhuatiri tidak mampu membayar ganti rugi kos, jika kalah dalam perbicaraan.

Peguam Bilal Philips, Meor Amir Meor Omar memaklumkan perkara itu selepas pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, anak guamnya telah membuat telah mencadangkan jaminan kos bagi kes tersebut namun Zamihan belum menyatakan persetujuannya.

"Maka Hakim Ahmad Zaidee Ibrahim menetapkan 19 Januari untuk pendengaran. Jika kedua-dua pihak setuju dengan jaminan kos yang ditawarkan, mahkamah tidak perlu mengadakan sesi pendengaran untuknya," katanya.

Dalam kenyataan tuntutannya, Bilal Philips mendakwa posting laman Facebook Zamihan pada November tahun lalu memaparkan gambarnya dengan iringan kenyataan yang menggelarkannya sebagai pengganas antarabangsa.

Posting itu dibuat sebaik sebelum sebuah acara keagamaan di Perlis, yang menampilkan Bilal Philips sebagai salah seorang penceramah.

Pendakwah yang lahir di Jamaica itu berkata, dakwaan beliau sebagai penyokong keganasan adalah tidak benar sama sekali, berbau fitnah dan dibuat tanpa asas.

Katanya, beliau konsisten mengangkat tema keamanan dan pemahaman dalam Islam, dan menolak keganasan yang dilakukan atas nama agama.

Bilal Philips yang memeluk Islam pada era 1970-an itu berkata, dakwaan Zamihan menggambarkan beliau aktif dalam keganasan dan terorisme dan syarahannya bertemakan tujuan tersebut, sedangkan beliau telah menulis lebih 50 buku tentang Islam dan sering terlibat dalam pelbagai program TV Islamik seperti "Peace TV", "Huda TV", dan "The Deen Show, Chicago".

Beliau memegang ijazah sarjana muda dari Universiti Islam Madinah, ijazah sarjana dari King Saud University dan doktor falsafah dari University of Wales, Trinity Saint David, dan tersenarai dalam 500 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia untuk tahun ini.

Bilal Philips menuntut ganti rugi am lebih RM1 juta yang akan ditentukan oleh mahkamah, serta ganti rugi teruk dan teladan.

Menerusi pembelaan yang difailkan 19 Oktober lalu, Zamihan menafikan tahu-menahu tentang posting tersebut, namun berkata kenyataan posting itu tidak bersifat fitnah malah tepat.

Beliau berkata, dakwaan penglibatan Bilal Philips dalam kegiatan berkaitan keganasan berdasarkan laporan berita oleh The Guardian United Kingdom (UK) dan National Post Canada, serta maklumat dari polis.

Zamihan juga mendakwa Bilal Philips dilarang memasuki beberapa negara, temasuk UK, Denmark dan Kenya.

Lihat Komen
ADS