Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khidmat komuter laluan Pelabuhan Klang ke KL Sentral terjejas
Diterbitkan:  Nov 30, 2017 6:44 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Perkhidmatan komuter di laluan Pelabuhan Klang ke KL Sentral tergendala hari ini, selepas sebatang pokok tumbang dan menghalang landasan di antara Stesen Klang-Jalan Kastam, dekat Pelabuhan Klang, awal pagi ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan menerusi facebook berkata, kejadian itu menyebabkan kabel elektrik di laluan Klang-Jalan Kastam terputus dan tren komuter tidak dapat melepasi Stesen Jalan Kastam.

"Insiden ini mengakibatkan landasan bagi operasi perkhidmatan tren komuter terpaksa ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baikpulih.

"Buat masa ini tiada perkhidmatan tren komuter dari Pelabuhan Klang - Bukit Badak - Pelabuhan Klang," menurut kenyataan itu.

Berikutan itu, tren komuter hanya akan beroperasi dari Padang Jawa-KL Sentral- Padang Jawa sahaja pada kekerapan 30 hingga 45 minit dengan tren pertama bertolak dari Padang Jawa pada pukul 7.15 pag kata kenyataan tersebut.

KTMB turut memohon maaf atas kesulitan itu dan menasihatkan penumpang supaya mendapatkan pengangkutan alternatif.

- Bernama

Lihat Komen
ADS