Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Esok boleh bubar parlimen, seloroh Najib
Diterbitkan:  Nov 30, 2017 8:26 PM
Dikemaskini: 12:44 PM

Ketika ramai tertunggu-tunggu bilakah tarikh Pilihan Raya Umum ke-14, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula masih mampu membuat jenaka apabila menyatakan parlimen boleh dibubarkan esok.

Najib berkata demikian selepas melihat sambutan orang ramai yang hadir ketika beliau merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) pertama di Negeri Sembilan di Ampangan, Seremban hari ini.

"Inilah saya kira bukti yang jelas bahawa tuan puan semua amat senang hati dengan UTC di Ampangan.

"Sebab itulah sambutan hari ini luar biasa. Saya rasa esok boleh bubar parlimen," seloroh Najib.

PRU14 mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas parlimen berakhir pada 26 Jun 2018.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan PRU14 akan diadakan selepas Tahun Baru Cina.

Sementara itu Najib berkata UTC Anpangan yang dinaik taraf daripada bangunan sedia ada hanya melibatkan kos RM34.29 juta.

"Kita jimat belanja. Kalau kita terpaksa buat bangunan baru, barangkali kos RM150 juta," kata Najib.

Beliau juga menyatakan bahawa UTC di Ampangan hanya mengambil masa 12 minggu untuk disiapkan.

Majlis perasmian turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Irwan Siregar Abdullah dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Awaludin Said.

UTC yang ke-20 di negara ini terletak di Jalan Seremban-Kuala Pilah beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Bangunan tiga tingkat itu menempatkan 18 agensi kerajaan dan swasta antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Lihat Komen
ADS