Najib: Jepun bantu kita untuk Revolusi Industri 4.0
Syarikat-syarikat Jepun telah menyumbang kepada agenda Malaysia dalam menjana pertumbuhan mampan dan inklusif, dan pada masa yang sama mempersiapkan negara ke arah Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata Jepun memainkan peranan penting dalam pertumbuhan Malaysia, sebagai sumber pelaburan asing sejak 1980-an dan pada September tahun ini, ia menjadi pelabur asing kedua terbesar selepas Singapura, dengan pelaburan bernilai US$16.6 bilion (RM70 bilion).
"Jepun juga merupakan sumber utama pelaburan langsung asing dalam sektor perkilangan Malaysia. Pada akhir 2016, sebanyak 2,621 projek dengan penyertaan Jepun, bernilai US$27.8 bilion (RM88.5 bilion) telah dilaksanakan," kata Najib dalam ucaptama pada Forum Perniagaan Nikkei Malaysia 2017, di Kuala Lumpur semalam.
Najib berkata bagi separuh pertama tahun ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia meluluskan 16 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun, bernilai RM559 juta, dengan 75 peratus daripadanya metupakan pelaburan semula oleh syarikat-syarikat Jepun yang sudah beroperasi di negara ini.
Beliau menekankan bahawa pelaburan semula ini menunjukkan kepercayaan dan keyakinan berterusan ke atas Malaysia sebagai tempat utama bagi syarikat untuk menjalankan perniagaan.
- Bernama

