ULASAN Para pelajar gembira manakala guru-guru menarik nafas lega. Sekolah telah berjaya melabuhkan tirainya. Anak-anak terutamanya bakal dimewahkan dengan waktu. Mengurus anak-anak pada waktu sebegini memerlukan kebijaksanaan ibu bapa.

Kebejatan berlaku apabila anak-anak hilang pantauan dan tidak dipetakan ke satu tujuan yang jelas. Anak-anak yang tumbuh dari rumah yang lenyap peranan ibu bapa misalnya, ke manakah mereka akan melangkah di waktu senggang begini? Dengan siapakah mereka bergaul? Adakah mereka selamat dari tangan-tangan yang cuba memusnahkan diri mereka yang muda dan berharga ini?

Anak-anak muda semuanya berada dalam fasa mencari identiti diri. Mereka keliru dengan banyak hal dan kepala mereka diasak dengan banyak persoalan tentang kehidupan. Sama ada ibu bapa memberi jawapan yang meyakinkan atau rakan seusia yang akan mengambil peranan dalam membentuk acuan pemikiran. Dalam akhbar Sinar Harian yang bertarikh 9 Ogos 2017, Datuk Nur Jazlan Mohamed, timbalan menteri dalam negeri berkata dadah masih musuh nombor satu negara dengan sekolah-sekolah menengah kita menjadi tumpuan sindiket ini.

Mengikut statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sejumlah 1731 daripada 36,664 pelajar sekolah menengah seluruh negara positif dadah sepanjang Januari hingga September tahun ini. Trend penagihan dadah pula menunjukkan terdapat peningkatan bilangan penagih yang berumur antara 13 hingga 19 tahun antara tahun 2015 ke 2016. Ini bermakna, dadah beredar dalam kalangan anak-anak kita. Sama ada terjebak atau tidak, ia adalah persoalan masa dan ketika, tetapi satu hal yang harus diingat, tiada seorang pun yang kebal atau tidak lut terhadap perkara ini. Sekali lagi faktor keluarga dan pemilihan rakan menjadi perisai yang paling agung di sini.

Pendidikan yang diterima di rumah dan sekolah seharusnya menjadikan mereka manusia yang mempunyai autonomi ke atas diri sendiri. Tidak kiralah apa jua yang melintang di jalan, mereka akan mengambil sikap yang betul jika dibesarkan dengan peribadi yang teguh. Jika sebaliknya, bersedialah untuk dibaham oleh jerung-jerung yang sedia menunggu. Data AADK menjelaskan jumlah penagih baru pada tahun 2016 adalah seramai 22 923 orang, manakala tiga negeri yang memiliki jumlah penagih dadah tertinggi tahun 2016 adalah Pulau Pinang (5081 orang), diikuti Kedah (3862 orang) dan Kelantan (3233 orang).

Jumlah keseluruhan penagih juga meningkat dari 26,668 pada tahun 2015 kepada 30,844 pada tahun 2016. Semua data ini tidak diselindungkan oleh AADK namun adakah masyarakat mahu meneliti dan peduli? Anak-anak kita mungkin tidak terlibat dadah, tetapi tidak mustahil akan terjebak dan terjerat sama. Masalah ini bersifat sejagat dan ianya sedikit demi sedikit merebak seperti kanser yang memakan seluruh fungsi masyarakat tanpa disedari.

Sedikit ribut yang berlaku di dalam rumah, memungkinkan pelbagai cerita. Marahkan ibu bapa, diri sendiri dirosakkan. Rakan lebih dipercayai berbanding keluarga sendiri. Statistik AADK menjelaskan pengaruh rakan menguasai 57 peratus sebab guna dadah di samping sebab keseronokan, rasa ingin tahu, rangsangan, tahan sakit, tekanan jiwa dan lain-lain lagi sebab. Kerap kali golongan ini hilang kawalan lalu mencelakakan diri sendiri. Rumah pula tidak lagi dapat menjadi tempat untuk mencari damai, ibu bapa juga tidak berperanan menjadi polis kepada kegiatan anak sendiri akibat terlalu letih memperkukuh ekonomi. Ibu bapa yang merupakan entiti berautoriti penuh ke atas anak-anak ada kalanya tidak ambil peduli perihal mereka, langsung tidak mengendahkan anak-anak yang keluar sehingga lewat malam untuk melepak misalnya. Institusi kekeluargaan hilang fungsinya, jiwa anak-anak dibiarkan kosong tanpa isi. Lalu si anak mengangkat kaki membawa diri kepada hiburan dan keseronokan yang jauh lebih bermakna di luar rumah sendiri.

Pada buku teks semata...

Maka usahlah terkejut melihat data-data yang dipersembahkan kepada kita. Menurut statistik kanak-kanak Malaysia 2017 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan kanak-kanak yang terlibat dengan kesalahan jenayah pada tahun 2015 sebanyak 4,669 kes, manakala pada tahun 2016 sebanyak 4,886 kes dengan kesalahan tertinggi melibatkan kes dadah dan bersabit dengan harta benda. Bilangan pesalah juvana bagi kesalahan pertama pada tahun 2016 adalah 4,078 pesalah berbanding 3,880 pada tahun 2015.

Sudahlah rumah tidak menyenangkan, sekolah juga tidak dapat menjadi lingkungan berkasih- sayang. Pendidikan yang cuma terbatas pada buku teks semata-mata, dirasakan kering dan hilang nilai-nilai kemanusiaan. Guru-guru dibebankan dengan hal-hal pengkeranian dan tidak mempunyai masa untuk menelinga luahan anak-anak murid. Guru-guru sendiri mengalami tekanan sepertimana yang dilaporkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Hubungan guru dan murid menjadi hambar, tidak ada kemesraan dan bertukar-tukar dialog antara dua kelompok ini. Anak-anak semakin terpinggir dan tidak dipedulikan. Sikap empati para guru hilang ditelan kesibukan menjayakan program-program kementerian.

Sekolah dengan tujuannya yang paling dasar sebagai alat kawalan sosial terhad menjadi medan perbincangan deretan A dan bagaimana untuk memperkecil Gred Purata Nasional. Ya, walaupun hanya 0.03 peratus daripada 4.7 juta murid mengambil dadah seperti yang dimaklumkan oleh timbalan menteri pendidikan, bukanlah bermaksud kita harus meraikan angka yang kecil ini. Lebih seribu murid terancam masa depan mereka. Kita akan kehilangan sejumlah besar generasi yang bakal meneruskan kitaran yang sama; mengabaikan keluarga masing-masing, tidak mempunyai tujuan hidup, kekeringan identiti dan pada akhirnya menjadi beban kepada masyarakat.

Ini semua anak-anak kita. Yang bakal menjadi tiang masa depan. Jika rumah dan sekolah tidak dapat menjadi dahan yang teguh, anak-anak akan mencari alternatif lain untuk berteduh. Di samping kita meriah dengan KBAT, sekolah amanah, memperkenalkan program International Baccalaureate di sekolah-sekolah, juga segala yang muluk-muluk dalam Laporan Pelan Pembangunan Malaysia 2016, peratusan kecil anak-anak yang tersasar sepatutnya mengiklimkan kegelisahan di hati nurani kita. Anak-anak adalah kiriman istimewa dari langit, jika tidak dipetakan dengan sebaiknya oleh rumah dan sekolah, jadilah mereka manusia yang tempang fungsi, umpama kayu buruk; buruk di panas, reput di hujan.


Rencana ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.