Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
KDN: Tiada sekatan untuk parti baru berasaskan kaum
Diterbitkan:  Dec 1, 2017 3:10 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

PARLIMEN | Mana-mana pihak bebas untuk menubuhkan parti politik atau badan bukan kerajaan yang berasaskan kaum, asalkan ia tidak melanggar undang-undang.

Perkara itu dinyatakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan parlimen bertarikh 29 November 2017.

"KDN tidak bercadang untuk melaksanakan sekatan atau halangan kepada mana-mana pihak, sama ada NGO atau parti politik, untuk mendaftarkan pertubuhan berasaskan kaum atau bangsa.

"Namun objektif penubuhan akan dipastikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) agar tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, serta tertakluk kepada undang-undang semasa," kata KDN.

KDN menjawab soalan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang meminta kerajaan menyatakan senarai parti politik yang berdaftar di Malaysia, serta sama ada kerajaan akan mengharamkan parti berasaskan kaum.

Wujud pandangan bahawa parti politik berasaskan kaum - yang menjadi pemain politik utama di Malaysia sejak merdeka - sudah tidak relevan dengan peredaran zaman.

Antara yang pernah mengutarakan pandangan itu adalah veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah. Pada 2015, Tengku Razaleigh menyifatkan parti berasaskan kaum dan agama hanya menghalang perpaduan rakyat.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Dr Mujahid Rawa pula pernah menggesa rakyat menolak parti politik seumpama itu.

"Pada masa akan datang, semua parti yang mahu didaftarkan, mesti memastikan keahliannya terbuka kepada semua kaum," katanya seperti dipetik laman The Malaysian Insight, 24 Mei lalu.

Malah ketika cadangan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mula diutarakan, banyak pihak yang mengkritik tokoh yang menubuhkannya kerana masih mengekalkan keahlian Melayu sahaja, seperti Umno.

Namun langkah itu dipertahankan pemimpin parti itu, antaranya ketua pemudanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berkata ia bagi menarik pengundi Melayu yang masih kekal dengan identiti parti Melayu, tetapi pada masa sama menyediakan mereka bagi perubahan jangka panjang.

 

Lihat Komen
ADS