Laporan RCI forex: Zahid serah pada polis
Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menyerahkan kepada polis untuk menyiasat isu kerugian Bank Negara dalam urus niaga tukaran wang asing (forex) susulan syor suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang dikeluarkan semalam.
“Mereka (RCI) mencadangkan beberapa personaliti yang dinamakan dalam laporan itu supaya dilakukan siasatan mengikut undang-undang kanun jenayah atau undang-undang lain berkaitannya.
“Sebagaimana yang dinyatakan oleh ketua polis negara, pihak polis khususnya jabatan siasatan jenayah komersial akan melakukan siasatan jika terdapat permintaan secara rasmi dan laporan polis dibuat bagi menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa yang ada pada jabatan siasatan jenayah komersial,” kata Zahid.
Timbalan perdana menteri berkata demikian ketika ditemui di Dataran Putra, Putrajaya hari ini.
Beliau ditanya pemberita sama ada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin perlu dihadapankan ke muka pengadilan berhubung skandal forex.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini berkata pasukan yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Amar Singh Ishar Singh, telah ditubuhkan semalam sejurus laporan polis berhubung perkara berkenaan diterima.
Laporan RCI memutuskan Mahathir dan Anwar mungkin bersubahat dengan Tan Sri Nor Mohamed Yaakop bagi menyembunyikan fakta tertentu daripada kabinet.
Laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam merumuskan Bank Negara rugi RM31.5 bilion disebabkan aktiviti forex berlebihan dan spekulasi antara tahun 1992 dan 1994.
Zahid ketika ditemui pada mulanya enggan mengulas panjang kerana bergegas ke tempat lain.
“Besok boleh?
“Saya ada program esok, tempat ini tak sesuai nak 'jolok' (tanya soalan) tapi tak apalah kita buat bawah khemah,” kata Zahid yang enggan menghampakan rakan media yang mengerumuni beliau.
Terdahulu Zahid hadir ke Masjid Putra, Putrajaya bagi menunaikan solat Jumaat.
Beliau terlibat dalam beberapa acara rasmi termasuk berkaitan serahan zakat dan pelancaran Tabung Derma bagi membantu mangsa perang di Syria.

