Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guru agama perlu tauliah ajar Islam di Perlis - Raja Muda

Penceramah atau guru agama yang dijemput mengajar Agama Islam di Perlis perlu mendapat tauliah atau kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips), titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda tauliah mengajar Agama Islam Negeri Perlis adalah di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang termaktub dalam Seksyen 118 Bahagian X – Pendidikan Agama Islam, Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006.

“Mereka yang melanggar peraturan ini boleh didakwa di bawah Seksyen 119: Kesalahan Mengajar Agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam Tanpa Tauliah dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pada majlis penyerahan tauliah kebenaran solat Jumaat Masjid Al-Gufran, Batu 2 Jalan Lama, Kaki Bukit, di Padang Besar, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah, Ramli Jusuh menerima tauliah tersebut bagi pihak masjid.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah agar pengurusan masjid di negeri ini mematuhi garis panduan tersebut.

Baginda turut menyentuh peranan masjid yang terbukti antara instrumen yang berjaya melahirkan generasi ummah terbaik dan perlu ditadbir dengan sistematik supaya peranannya dapat di optimumkan serta terus relevan.

“Sebagai institusi masyarakat terpenting umat Islam, masjid ibarat one-stop centre yang menyatu dan menggerakkan penganutnya dalam segala aspek kehidupan termasuk pembinaan rohani, akhlak dan masyarakat.

“Justeru, umat Islam di semua peringkat perlu menggembleng tenaga membina kekuatan ummah melalui institusi masjid khususnya bagi merealisasikan hasrat Pembangunan Ummah Cemerlang Menjelang tahun 2020,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda selaku Yang Dipertua Maips bertitah pengurusan masjid bagaimanapun harus mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Maips selaku Pemegang Amanah tunggal semua masjid di Perlis.

-Bernama

Lihat Komen
ADS