Seorang wanita tempatan dipercayai mangsa bunuh ditemui dengan kesan jerutan di leher di sebuah ladang kelapa sawit di Taman Permai, Mambang Di Awan di Kampar semalam.

Mangsa, S. Letchumi, 28, dari Bandar Baru Kampar, ditemui dalam keadaan terlentang oleh seorang lelaki berusia 60 tahun yang datang ke ladang itu untuk mencari cendawan pada kira-kira jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Ng Kong Soon berkata, berdasarkan keadaan mayat, mangsa yang sudah berkahwin itu dipercayai dibunuh kurang daripada tempoh 24 jam.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul objek tumpul," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Katanya, pihak polis menemukan kunci motosikal dan topi keledar milik mangsa di lokasi kejadian tetapi motosikal dipercayai milik mangsa ditemukan di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Kampar.

Ng berkata polis telah memaklumkan kepada waris mangsa mengenai kejadian itu dan mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Katanya, polis masih menyiasat motif kejadian dan sedang giat memburu suspek.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pemuda lemas

Sementara itu, di Nilai, seorang pemuda lemas ketika cuba membetulkan jalanya yang tersangkut di dalam sebuah kolam terbiar berhampiran Kampung Masjid Lenggeng petang semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Zaldino Zaludin berkata semasa kejadian mangsa Ghazlan Johari, 24, sedang menjala ikan di kolam tersebut bersama dua rakannya.

“Kira-kira pukul 2 petang semasa sedang menjala, mangsa mendapati jalanya telah tersangkut di dalam kolam.

“Dia masuk ke dalam kolam untuk membetulkannya namun kelibatnya tidak muncul-muncul selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Zaldino berkata mayat mangsa ditemui pada pukul 4.45 petang oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Mantin.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk dibedah siasat.

- Bernama