Jumlah mangsa banjir di K'tan menurun tengahari ini
Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 12,493 orang setakat pukul 1 tengah hari ini berbanding 13,736 orang pada 8 pagi tadi.
Kesemua mangsa ditempatkan di 53 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Gua Musang.
Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas masih merekodkan jumlah tertinggi dengan 8,034 mangsa daripada 3,473 keluarga yang ditempatkan di 31 PPS, diikuti Tumpat dengan 3,365 mangsa (1,175 keluarga) di lapan PPS.
Selain itu, 814 mangsa (242 keluarga) ditempatkan di lapan PPS di Pasir Puteh, 133 mangsa (34 keluarga) di dua PPS di Kota Bharu, 91 mangsa (22 keluarga) di dua PPS di Gua Musang dan dua PPS di Tanah Merah menempatkan 56 mangsa (15 keluarga).
Portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang kekal kepada 10.34 meter pada 12 tengah hari ini, sama seperti pada 8 pagi tadi. Paras bahaya ialah sembilan meter.
Paras air Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula menurun kepada 3.52 meter berbanding 3.55 meter tempoh sama. Paras bahaya 2.50 meter.
Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan setakat 1 tengah hari ini dan cuaca mendung.
Sementara itu, mangsa banjir di Terengganu meningkat kapada 600 orang manakala di Kelantan bertambah jumlah mencatatkan 13,736 orang.
Di Terengganu, mengikut Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), julah itu melibatkan 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah iaitu di Besut, Marang, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun dan Setiu.
Marang merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 368 orang (108 keluarga) di empat PPS, Setiu seramai 65 mangsa (14 keluarga) di dua PPS dan dua PPS di Kuala Nerus menempatkan 54 mangsa (14 keluarga).
Manakala di Dungun seramai 47 mangsa (12 keluarga) berada di satu PPS, Kuala Terengganu melibatkan 45 mangsa (15 keluarga) dan Besut seramai 21 orang (enam keluarga) masing-masing juga di satu PPS.
Mengikut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran pada 9 pagi ini, paras air Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu merekodkan bacaan 21.44 meter (m) melebihi aras amaran 20.75 m manakala Sungai Chalok di Jambatan Chalok, di Setiu juga merekodkan peningkatan dengan bacaan 8.1 meter (m) melebihi 7.7 m.
Begitu juga dengan Sungai Marang, Jambatan Pengkalan Berangan mencatatkan peningkatan aras air hingga 2.39 m melebihi aras amaran 2.3 m.
Manakala di Ipoh, mangsa banjir di Perak berkurangan kepada 858 orang daripada 190 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,000 pada petang semalam.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, hanya lapan pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di tiga daerah negeri itu.
Manjung kekal mencatat jumlah mangsa teramai iaitu 838 orang dengan 433 daripadanya kini berlindung di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu, Pantai Remis.
Manakala 168 mangsa masih ditempatkan di Sekolah Agama Tebuk Yan, SK Nakhoda Taib Segari (111), Dewan Orang Ramai Batu 8 Segari (66), SK Dato Ishak (38) serta 22 lagi di SK Muhammad Saman.
Sementara itu, di Muallim hanya sebuah pusat pemindahan masih dibuka iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Muda yang menempatkan tujuh mangsa daripada satu keluarga.
Di Taiping pula, 13 mangsa daripada tiga keluarga masih menghuni PPS di Kampung Jawa Sungai Nyior Trong.
- Bernama

