GLOBAL Bekas penasihat keselamatan negara Michael Flynn pada hari Jumaat mengaku bersalah berbohong kepada FBI tentang kenalannya dengan Rusia dan bersetuju bekerjasama dengan pihak pendakwa untuk menyiasat tindakan orang dalam Presiden Donald Trump, sebelum dia mengambil alih jawatan.

Perkembangan terbaru itu juga menimbulkan persoalan baru mengenai sama ada menantu Trump, Jared Kushner, mempunyai peranan dalam perbincangan tersebut.

Flynn adalah anggota pertama pentadbiran Trump yang mengaku bersalah terhadap jenayah yang didedahkan dalam siasatan peguam khas Robert Mueller terhadap percubaan Rusia mempengaruhi pilihan raya AS 2016 dan kemungkinan berpakat secara sulit dengan pembantu Trump.

Di bawah perjanjian tawaran rayuan, Flynn mengakui di mahkamah Washington bahawa dia berbohong apabila ditanya oleh penyiasat FBI tentang perbualannya Disember lalu dengan Duta Rusia ketika itu, Sergei Kislyak, hanya beberapa minggu sebelum Trump mengambil alih jawatan.

Pendakwaraya berkata, kedua-dua mereka membincangkan tentang sekatan ekonomi terhadap Rusia dan Flynn meminta Kislyak membantu menewaskan atau melambatkan undi PBB yang dilihat memudaratkan Israel. 

Mereka juga berkata "anggota yang paling kanan" pasukan peralihan Trump telah meminta Flynn untuk menghubungi Rusia dan kerajaan asing lain untuk cuba mempengaruhi mereka menjelang pengundian tersebut.

Sumber-sumber memberitahu Reuters bahawa pegawai "kanan itu" adalah Kushner, seorang anggotqa utama pasukan peralihan Trump dan kini penasihat kanan Presiden.

Peguam Kushner ini, Abbe Lowell, tidak menjawab beberapa permintaan untuk mendapatkan komen. Beliau sebelum ini berkata Kushner telah secara sukarela bekerjasama dengan semua inkuiri yang berkaitan dan akan terus berbuat demikian.

Keputusan Flynn untuk bekerjasama dengan pasukan Mueller menandakan satu peningkatan utama dalam siasatan yang menyelubungi presiden sejak beliau mengambil alih jawatan pada bulan Januari.

[Baca berita penuh]

- Reuters