Kami jual tanah 36 kali lebih rendah dari BN tapi hasilnya lebih tinggi - Lim
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjawab kritikan terhadap jualan tanah di negeri itu, dengan mengulangi bahawa pentadbirannya telah menjual tanah kurang daripada pendahulunya dari segi keluasan, tetapi memperoleh hasil yang jauh lebih tinggi.
"Pulau Pinang menjual tanah sebanyak 36 kali lebih rendah daripada BN, tetapi hasil diterima lebih besar kerana kami mengamalkan sistem tender terbuka," kata Lim dalam satu kenyataan malam tadi.
Katanya, sejak awal tahun 90-an hingga 2008, kerajaan negeri pimpinan BN telah menjual 3,661 ekar berjumlah RM1.0586 bilion, manakala kerajaan negeri dari 2008 hanya menjual sejumlah 106 acres untuk RM1.1102 bilion.
Lim juga menafikan dakwaan pemimpin BN beberapa bulan kebelakangan bahawa Pulau Pinang bergantung kepada penjualan tanah untuk membiayai operasinya.
Daripada jumlah jualan tanah itu, katanya iaitu sebanyak RM939.2 juta, RM500 juta perlu diberikan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk Tabung Perumahan Mampu Milik, dengan meninggalkan bakinya hanya RM439.32 juta atau 10.4 peratus daripada jumlah hasil negeri.
"Ini menunjukkan bahawa hasil daripada penjualan tanah bukanlah sumber atau punca utama untuk menampung perbelanjaan kerajaan negeri," katanya.
Menurutnya, perbelanjaan kerajaan negeri juga turut dibiayai sebanyak 78 peratus daripada hasil lain iaitu Hasil Cukai sebanyak RM628.34 juta (15%), Hasil Bukan Cukai (selain penjualan tanah) sebanyak RM1.69 bilion (40%) dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM952.96 juta (23%).
Pada hari Khamis, naib presiden MCA, Datuk Chew Mei Fun mendakwa bahawa penjualan tanah "tidak terkawal" di Pulau Pinang akan "mengkompromikan masa depan rakyat".
Beliau merujuk kepada laporan Ketua Audit Negara 2016 yang mendedahkan bahawa bahagian besar daripada pendapatan kerajaan negeri Pulau Pinang telah diperolehi daripada hasil jualan tanah negeri dan yuran pemindahan tanah khas, meningkat 1,088.7 peratus dalam tempoh setahun.
Sementara itu, Lim juga mempertahankan penjualan tanah bernilai RM156 juta untuk pelaburan bernilai tinggi RM2 bilion oleh Island Hospital yang sedia ada untuk membina hospital swasta terbesar di Malaysia sebagai “economic game-changer”.
"Pelaburan RM2 bilion itu adalah “economic game-changer” yang akan membantu untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya perubatan," katanya beliau sambil menambah ia akan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dan menarik balik tenaga mahir dalam bidang perubatan.

