Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Pdg Rengas usul tiada pertandingan Presiden, Timb Presiden

Umno Bahagian Padang Rengas tetap dengan pendirian untuk membentangkan usul pada Perhimpunan Agung Umno 2017 yang akan berlangsung minggu depan agar jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata usul itu akan dibentangkan kerana tidak mahu ada orang tertentu yang menyimpan hasrat untuk bertanding bagi kedua-dua jawatan itu.

“Ini bukan soal peribadi dan kedua-dua jawatan itu adalah menjadi kepentingan parti dan Umno Padang Rengas tetap mahu usul tersebut diterima sekali pun tidak dibahaskan. Saya rasa perpaduan dalam parti amat penting dan tahun ini tidak ada tutup mulut untuk perwakilan mengemukakan sebarang isu mengenai parti berbanding pada tahun 60an dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR, Sumbangan ke Sekolah dan Sumbangan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) peringkat Padang Rengas di Dewan Milenium Lubuk Merbau di Padang Rengas hari ini.

Jawatan Presiden Umno kini disandang Datuk Seri Najib Tun Razak manakala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan Naib Presiden yang menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden Umno.

Bantu keldai dadah daripada teraniaya.

Sementara itu, Mohamad Nazri, yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, berkata Rang Undang-undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 yang mencadangkan pemansuhan hukuman mati mandatori yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini dapat menyelamatkan serta membantu keldai dadah daripada teraniaya.

Beliau berkata cadangan pindaan itu pernah disuarakan beliau ketika masih menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam bahagian undang-undang dan hal ehwal Parlimen.

“Melalui pindaan ini dapat membantu hakim untuk membuat keputusan sama ada hukuman mati atau pun penjara seumur hidup dan sebatan. Ini satu perkembangan yang baik demi menyelamatkan mereka yang menjadi keldai dadah kerana mereka tidak tahu apa yang mereka bawa itu adalah dadah,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat pada 30 November meluluskan Pindaan RUU berkenaan bagi memansuhkan hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bertujuan memberi lebih ruang kepada mahkamah untuk menggunakan budi bicara dalam menentukan hukuman lebih sesuai terhadap pesalah dadah.

Beliau berkata sehingga kini terdapat kira-kira 200 rakyat Malaysia yang dipenjara di luar negara kerana menjadi keldai dadah.

 

- Bernama

Lihat Komen
ADS