Anggota Umno hari ini diingatkan agar terus bersatu di bawah kepimpinan sedia ada supaya mana-mana musuh parti itu tidak mudah menyusup masuk bagi memecah belahkan parti berkenaan.

Ketua Penerangan Umno negeri, Datuk Othman Abdul berkata anggota Umno juga perlu berhati-hati dengan mana-mana anggota parti yang disyaki menjadi musuh dalam selimut kerana menyalurkan maklumat dalaman parti kepada pihak lawan.

Beliau juga mengingatkan anggota parti supaya berhemah dalam memberi teguran serta setiap tindakan agar tidak menyinggung perasaan sesama mereka dalam usaha mengeratkan lagi perpaduan sekali gus memantapkan jentera parti itu.

Katanya, pendekatan itu penting untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) demi memastikan anggota tidak berpaling tadah.

Othman bercakap kepada pemberita selepas majlis perjumpaan UMNO Bahagian Pendang di Kedah.

 

-Bernama