Pope Francis: Dekati Tuhan melalui krisis Rohingya
GLOBAL | Pope Francis hari ini bertemu dengan kumpulan pelarian Rohingya di Bangladesh dan merujuk mereka dengan nama etnik Rohingya untuk kali pertama dalam lawatan beliau ke Asia.
"Dekati Tuhan melalui krisis Rohingya.
"Tragedi kamu sangat berat, tersangat besar. Kami berikan ruang di hati kami," kata pemimpin tertinggi penganut Kristian Katolik itu.
"Atas nama setiap orang yang menganiayai kamu, yang menyakiti kamu dan khususnya dunia yang tiada perasaan ini, saya pohon kemaafan kamu. Maafkan kami," kata Pope Francis di Dhaka, ibu kota Bangladesh, lapor agensi penyiaran BBC.
Sebelum ini, ketika melawat Myanmar Pope Francis tidak menggunakan istilah Rohingya.

Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai kumpulan etnik.
Kira-kira 620,000 orang pelarian Rohingya meninggalkan Myanmar sejak Ogos lalu.
Pope telah dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia kerana tidak menggunakan istilah Rohingya sewaktu lawatan di Myanmar.
Sebelum lawatan ke Myanmar yang bermula 27 November lalu, Pope pernah menggunakan istilah Rohingya.
Kerajaan Myanmar menolak menggunakan istilah Rohingya, melabelkan komuniti itu sebagai 'Benggali' dan mendakwa mereka berhijrah secara haram dari Bangladesh serta tidak boleh disenaraikan sebagai kumpulan etnik negara itu.
Pihak tentera Myanmar dituduh melakukan penghapusan etnik oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Rex Tillerson (gambar, atas) pada 23 November lalu turut melabel kekejaman di negeri Rakhine yang terletak di utara Myanmar sebagai 'penghapusan etnik' dan menggesa agar mereka yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.
Tillerson berkata AS terus menyokong siasatan yang boleh dipercayai serta bebas bagi menentukan semua fakta di lokasi dengan lebih lanjut untuk membantu proses akauntabiliti dan memanjangkannya melalui undang-undang AS, termasuk kemungkinan mengenakan sekatan bersasar.
Ucapan Pope dan penggunaan istilah Rohingya itu menghantar mesej kuat berhubung krisis Rohingya semasa lawatan beliau ke Myanmar dan Bangladesh.
Jumlah penganut Katolik di Bangladesh sangat kecil, sekitar 350,00 orang yang berjumlah 0.2 peratus populasi negara itu.

