Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja stesen minyak selamatkan bayi disyaki mahu dibuang

Seorang pekerja sebuah stesen minyak di sini menyifatkan kejadian beliau diserahkan seorang bayi lelaki oleh seorang wanita yang baharu sahaja melahirkan bayi itu petang semalam sesuatu yang tidak akan dilupakan dalam hidupnya.

Nurul Shuhada Mat Shukri, 25, berkata beliau gembira tindakannya memujuk wanita berusia 30-an itu yang baharu sahaja keluar daripada tandas stesen minyak itu kira-kira pukul 2.15 petang dengan membawa 'sesuatu' yang berbungkus dengan kain batik agar diserahkan kepadanya akhirnya berhasil.

“Memang dia marah tetapi saya tidak jemu-jemu memujuknya agar benda berbungkus yang saya yakin ia adalah bayi yang baharu dilahirkan kerana terdengar tangisan agar diserahkan kepada saya kerana khuatir wanita itu akan berbuat sesuatu yang di luar jangkaan.

Jika tidak lakukan sesuatu, saya khuatir wanita itu akan buang bayi itu dan disebabkan itulah saya tidak henti-henti memujuknya walaupun dimarahi dan saya lega sebaik saja dapat memeluk bayi itu dan terus membuat laporan polis sebelum bayi itu di hantar ke hospital untuk rawatan dan penjagaan,” katanya ketika ditemui pemberita di stesen minyak berkenaan di Baling, Kedah hari ini.

Nurul Shuhada berkata selepas menyerahkan bayi berkenaan, wanita itu sempat berpesan agar menjaganya dengan baik sebelum memandu sebuah kenderaan Proton Waja dalam keadaan kesakitan dan keletihan

Polis siasat sembunyi kelahiran, uji DNA

Sementara itu Ketua Polis Daerah Baling Supt Shariffuddin Yusuf berkata polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

"Bagi kes semalam, kita sedang menyiasat dan mengesan wanita itu termasuk melalui ujian perbandingan darah bayi itu untuk tujuan (ujian) DNA,” katanya.

Beliau berkata bayi berkenaan kini sedang menerima rawatan di Hospital Baling dan dalam keadaan sihat.

Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata, JKM Baling akan mendapat Perintah Hak Perjagaan Sementara mengikut Seksyen 25( 2) ( A) Akta Kanak- Kanak 2001 Pindaan 2016 daripada Mahkamah Sesyen Baling .

Beliau berkata, bayi ini akan ditempatkan ke Rumah Kanak Kanak Taman Bakti Kepala Batas bagi memberikan perlindungan sewajarnya.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS