5 pemimpin Srikandi BERSATU di Kedah letak jawatan
Kegagalan parti menguruskan terlalu banyak isu dan polemik didakwa mendorong lima pemimpin Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meletak jawatan di Kedah, lapor sebuah portal.
Seorang daripada mereka malah anggota exco pergerakan itu di peringkat nasional.
Mereka ialah daripada Exco Srikandi BERSATU Malaysia Zuraini Kamal, Anggota Jawatankuasa (AJK) BERSATU Kedah, Halimaton Saadiah Shah Mat dan Rukiza Abu Bakar, serta AJK Srikandi BERSATU Kuala Kedah, Sopi Aziz dan Fatimah Ahmad.
Zuraini yang menjadi jurucakap kumpulan terbabit berkata segala isu berbangkit dalam parti itu tidak iuruskan dengan baik atau serius oleh pucuk pimpinan BERSATU.
Katanya wujud amalan fitnah tanpa sebarang siasatan dan bela diri, selain ramai individu diketepikan atau ditukar jawatan hanya kerana kononnya atas dakwaan salah laku.
Masalahnya kata Zuraini, individu terbabit tidak diberi peluang untuk membela diri.
Zuraini turut mendakwa wujud budaya tidak boleh menegur dan memberi pandangan mengenai BERSATU.
“Ini bukanlah keputusan yang mudah. Sudah pasti kami akan dilabelkan sebagai pengkhianat, pemakan dedak, orang yang kecewa dan sebagainya, tapi prinsip kami mudah - berkata benar walaupun pahit. Berani dan bermaruah.
“Benar, BERSATU baru setahun jagung tetapi kepimpinan tertinggi adalah daripada kalangan yang sangat berpengalaman dan berilmu, dan usia BERSATU sebagai parti di peringkat penajaan tidak boleh dijadikan alasan,” katanya pada sidang media diadakan semalam dan dilaporkan umno-online.
Proses buka peluang
Sementara itu Ketua Srikandi BERSATU Kedah Halimaton Shaadiah Saad, berkata peletakan jawatan pemimpin peringkat bahagian itu tidak akan melemahkan parti.
Bahkan katanya Srikandi BERSATU Kedah bersyukur dengan perkembangan berkenaan kerana ia memudahkan laluan perjuangan mereka mencapai matlamat di negeri berkenaan.
"Ianya juga dilihat sebagai satu proses pembersihan parti daripada golongan yang tidak mempunyai matlamat serta fokus yang jelas dalam perjuangan BERSATU," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Halimaton Shaadiah proses "pembersihan" itu juga membuka peluang kepada BERSATU mengemaskan barisan kepimpinan tertinggi peringkat negeri serta melantik pengganti yang lebih layak.
"Kami sesungguhnya menegaskan penarikan diri ketua-ketua bahagian tersebut tidak sama sekali melemahkan dan melumpuhkan Srikandi BERSATU mahupun BERSATU, malah menjadikan parti lebih kukuh, kuat untuk meneruskan gerak kerja bagi memenangi pilihan raya," katanya.

