Malaysiakini BERITA

Peguam AS: DOJ mungkin mahu beku aset 1MDB untuk siasatan jenayah

Geraldine Tong

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Walaupun Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman sivil pelucuthakan berkaitan 1MDB, badan itu kemudian memohon penangguhan mungkin kerana mahu membekukan aset-aset bagi membantu siasatan jenayah yang berjalan serentak.

Perkara itu dicadangkan oleh peguam AS Thomas Goldstein yang berpengalaman sebagai pengamal di Mahkamah Agung negara itu.

“Saya fikir... mereka (DOJ) mahu pastikan aset-aset itu hilang, jadi ia (aset-aset itu) boleh dipegang dan dipulangkan jika sesuai dan sama ada ia ditentukan berkaitan dengan 1MDB.

“Terdapat proses (siasatan) jenayah sedang berjalan, ia belum menghasilkan apa-apa lagi, tetapi mereka mahu aset-aset itu dibekukan supaya ia tidak dijual dan sebagainya,” kata Goldstein dalam ceramah bertajuk “Ligitasi jenayah di AS” di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam hari ini.

“Selepas memperoleh kesemua aset-aset itu, mereka bimbang jika mereka melalui proses pelucuthakan secara sivil sepenuhnya, mereka terpaksa mendedahkan semua perkara yang mereka tahu berkaitan potensi kes jenayah.

“Jadi di AS, apa yang berlaku adalah mereka cuba dapatkan aset-aset itu, kemudian pegang dan jalankan siasatan jenayah,” katanya.

Beliau menjalan soalan Timbalan Pengerusi Gerakan Andy Yong yang juga seorang pengamal undang-undang.



Yong bertanya kenapa DOJ memulakan prosiding pelucuthakan sivil terhadap aset-aset berkaitan 1MDB walaupun jabatan itu mengetahui mengenai siasatan jenayah yang turut berjalan.

DOJ setakat ini memfailkan tiga saman pelucuthakan sivil terhadap aset-set yang didakwa dibeli dengan wang 1MDB yang disalah guna, untuk merampas aset-aset itu.

Bagaimanapun, pada 11 Ogos, DOJ memfailkan penangguhan terhadap saman-saman itu, dengan berkata prosiding itu mungkin mempunyai “kesan buruk terhadap keupayaan kerajaan (AS) untuk menjalankan siasatan berkaitan jenayah”.

Mahkamah AS membenarkan penangguhan itu.

Goldstein, bekas pengajar ligitasi Mahkamah Agung di Sekolah Undang-undang Harvard dan Sekolah Undang-undang Stanford juga berkata, kerajaan AS nampaknya sedang berusaha supaya wang berkaitan dipulangkan kepada Malaysia.

'DOJ cuba dapatkan kembali wang'

“Saya fikir, seperti saya sebut sebelum ini, matlamat mereka (DOJ), dan saya fikir kerajaan di sini cuba bekerjasama, adalah supaya wang daripada 1MDB dipulangkan kembali ke Malaysia.

“Saya tidak fikir kerajaan AS cuba ambil wang ini dan simpan untuk kegunaan negara mereka, tetapi mereka cuba tentukan sama ada wang itu boleh dijejak kembali kepada 1MDB,” kata Goldstein.

Beliau juga menjejaskan saman sivil pelucuthakan hanya menyasarkan aset-aset, bukan orang perseorangan.

Sehingga sekarang, masih tiada cadangan daripada DOJ bahawa undang-undang AS dicabul oleh orang perseorangan di Malaysia atau sama ada kerajaan Malaysia terlibat, katanya.

“DOJ hanya memulakan saman sivil pelucuthakan terhadap harta tanah, bukan seseorang.

“Mereka telah memastikan untuk tidak mencadangkan dalam mana-mana saman sivil pelucuthakan itu bahawa mereka menyasarkan mana-mana orang dalam kerajaan, sama ada perdana menteri atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam 1MDB,” katanya.

Goldstein bagaimanapun berkata saman sivil pelucuthakan kadang-kadang menjadi permulaan untuk kes-kes jenayah dalam sistem AS, tetapi berkata perkara itu masih belum berlaku dalam kes 1MDB.

“Tiada pendakwaan jenayah, tiada defendan jenayah, tiada sasaran jenayah yang diumumkan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika kes itu berkembang, mungkin akan ada “kes jenayah klasik”, apabila kerajaan harus membawa kes jenayah dan membuktikan melebihi keraguan munasabah kepada jemaah juri.

Dalam saman pelucuthakan sivil itu, DOJ menamakan "Malaysian Official 1" (MO1) beberapa kali, yang kemudian didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib telah berulang kali menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi. Beliau juga mendakwa tuduhan-tuduhan terhadapnya sebagai sebahagian cubaan untuk menggulingkan kerajaan.

[Baca berita asal]