Mangsa banjir Kelantan dituntut jujur
Penduduk Kelantan yang tidak terjejas dengan banjir diingatkan supaya jujur dan tidak merampas hak orang lain yang lebih layak mendapat bantuan daripada kerajaan persekutuan.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata pihaknya berharap tiada individu yang mengambil kesempatan dengan mendaftar sebagai mangsa bencana alam tersebut semata-mata hanya ingin mendapat bantuan wang ihsan bernilai RM500.
"Kerajaan mengesan terdapat segelintir individu yang mengakui sebagai mangsa banjir meskipun kediaman mereka tidak terjejas.
"Kita kena berlaku adil, hanya mangsa banjir yang benar-benar dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) layak menerima bantuan tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Sandang Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.
Terdahulu, Kelantan ditimpa bencana banjir sejak 25 November lalu melibatkan lebih 10,000 penduduk terjejas selepas rumah mereka dinaiki air.
Ahmad Jazlan (gambar) yang juga anggota Parlimen Machang berkata, isu pihak ambil kesempatan itu mudah terjadi memandangkan mangsa terlampau ramai dan sukar bagi agensi-agensi kerajaan membuat pengesahan mengenai status kelayakan mereka yang berpindah ke PPS.
"Dalam soal pendaftaran mangsa banjir ini, kita kena disiplin.
"Saya mendapat maklumat orang yang tidak berpindah telah pergi ke PPS untuk mendaftar dengan tujuan mendapatkan sumbangan.
"Kita perlu bertanggungjawab, jangan merampas hak bagi mereka yang benar-benar layak," katanya.
Tambah timbalan pengerusi Umno Kelantan itu, berikutan tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan kerajaan akhirnya yang akan dituduh sebagai tidak adil.
"Saya harap mereka yang tidak menjadi mangsa banjir ini supaya lebih bertanggungjawab dan jangan mengambil kesempatan.
"Kita juga berharap jangan ada pihak yang cuba menghasut penduduk yang tidak layak ini supaya turut mendaftar.
"Kalau sekadar terkena banjir yang mana air melintasi jalan depan rumah, mereka belum layak. Berilah peluang kepada mereka benar-benar layak," ujarnya.

