Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Biro Undang-Undang Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) mengalukan-alukan cadangan pindaan kepada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pindaan itu memberikan budi bicara bersyarat kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman selain hukuman mati kepada pesalah dadah.

Namun Pemuda HARAPAN mengingatkan kerajaan yang reformasi undang-undang ini tidak seharusnya terhenti setakat ini.

Keazaman politik juga diperlukan untuk menyemak semula hukuman mati yang sedia ada dalam perundangan negara dengan tujuan untuk memansuhkannya jika perlu.

Hukuman mati kepada pesalah dadah tidak pernah menunjukkan sebarang pengurangan kes, apatah lagi menginsafkan rakyat secara amnya.

Keterdesakan ekonomi dan pengaruh rakan sebaya yang sebenarnya menjadi punca mengapa berlaku pengedaran dadah secara berleluasa dan ramai anak muda yang menjadi mangsa keldai dadah adalah hanya kerana untuk mencari jalan mudah mendapatkan wang.

Lebih mengejutkan, kajian Pemuda HARAPAN mendapati terdapat 1,743 tangkapan melibatkan penuntut sekolah dan 1,953 tangkapan melibatkan penuntut institusi pengajian tinggi di bawah Seksyen 39B itu daripada Januari 2014 sehingga Oktober 2017.

Dalam keadaan ini, kami menegaskan adalah tidak wajar bagi kerajaan untuk bergantung kepada hukuman mati semata-mata untuk menyelesaikan masalah pengedaran dadah.

Kuasa pada pendakwa raya

Bagaimanapun, kami sangsi apabila mendapati cadangan ini sebenarnya tidak memberikan kuasa sepenuhnya kepada hakiman untuk menjatuhkan hukuman yang dirasakan wajar kepada pesalah dadah.

Ini kerana sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman selain hukuman mati, perakuan bertulis perlu diperolehi daripada pendakwa raya seperti mana dalam Seksyen 39B(2a)(b) akta itu. Tanpa perakuan itu, hakim tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman mati.

Seolah-olah kuasa tersebut diletakkan sepenuhnya kepada pihak pendakwa raya.

Ia bukanlah budi bicara yang diharapkan kerana tangan kehakiman masih terikat. Kerajaan seharusnya tidak mencampuri kuasa kehakiman dalam menentukan hukuman berdasarkan "case by case", bukannya pendekatan "one size fits all" kepada pesalah dadah.

Kami juga meragui keazaman untuk mengurangkan pelaksanaan hukuman mati kerana cadangan pindaan terbaru ini tidak terpakai kepada kes 39B yang kini dalam proses rayuan, sama ada di peringkat mahkamah Rayuan mahupun mahkamah Persekutuan.

Jika benar kerajaan serius terhadap pengurangan atau pemansuhan pelaksanaan hukuman mati, semakan semula kes terdahulu hendaklah dilakukan segera agar lebih banyak nyawa dapat diselamatkan.

Apa alasan Malaysia?

Selain itu, walaupun secara zahirnya ada pengecualian terhadap hukuman mati, hukuman tersebut masih kekal dan akan terus dikuatkuasakan jika syarat dalam cadangan pindaan terbaru ini tidak diikuti. Kesannya, hakim masih lagi tidak boleh menjatuhkan apa-apa hukuman selain hukuman mati.

Maka, Pemuda HARAPAN menggesa sudah tiba masanya kerajaan mengambil pendirian tegas untuk menyemak semula kesemua kesalahan yang memperuntukkan hukuman mati dan kewajaran hukuman itu pada zaman ini.

Sebanyak 104 negara telah memansuhkan hukuman mati secara keseluruhan dan tiada halangan bagi Malaysia untuk mengikut jejak langkah sama.

Apa yang lebih utama sekarang adalah untuk melaksanakan dasar yang mampu menangani masalah penagihan dan pengedaran dadah, dan ia tidak seharusnya tertumpu kepada aspek hukuman semata-mata.


Wan Anwar Wan Ibrahim (AMANAH), Wong King Wei (DAP), Farhan Haziq bin Mohamed (DAP) dan Murnie Hidayah Anuar (PKR) adalah anggota Biro Undang-undang Pemuda HARAPAN.

Rencana ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS