Isu berkaitan kawalan imigresen, tadbir urus dan pengangguran adalah antara kerisauan terbesar rakyat Malaysia, menurut tinjauan yang dibuat sebuah agensi penyelidikan pasaran global.

Dalam sidang media bagi membentangkan tinjauan bertajuk "What Worries Malaysia" hari ini, pengarah Hal Ehwal Awam Ipsos, Arun Menon mengakui dapatan daripada tinjauan itu agak mengejutkan, terutama tentang kawalan imigresen dan kemasukan pekerja asing menduduki tempat ke-10 di peringkat global, tetapi mendapat kedudukan pertama di Malaysia.

Arun berkata, walaupun kerisauan terhadap soal itu dibangkitkan di semua peringkat, ia ternyata disuarakan dengan lebih kuat oleh suatu kumpulan responden berbanding yang lain.

"Kebanyakannya orang Melayu, terutama dari kawasan pedalaman serta mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000," katanya.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 1.7 juta pekerja asing berdaftar di negara ini. Jumlah itu tidak mengambil kira pekerja asing yang tiada dokumen.

Arun berkata, keputusan peringkat global berdasarkan purata 26 negara lain yang termasuk dalam tinjauan.

"Kebanyakan negara di Eropah dan Ausralia menganggap kawalan imegresen sebagai satu kerisauan.

"Tetapi jika anda melihat India dan China, ia bukan isu yang besar. Daripada 26 negara, hanya enam atau tujuh yang menyatakannya sebagai kerisauan besar," katanya.

Antara negara yang termasuk dalam tinjauan global Ipsos 2017 adalah Italy, Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea Selatan, Jerman dan Perancis.

Tinjauan di Malaysia pula melibatkan 2,027 responden barusia antara 15 hingga 64 tahun melalui wawancara telefon.

Wanita dan pengangguran

Sementara itu, Arun berkata, pengangguran adalah isu paling utama dibangkitkan responden wanita dan mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM1,000.

"Generasi Z, atau mereka berusia antara 15 hingga 24 tahun, juga paling risau dengan pengangguran. Mereka tidak mendapat kerja yang sesuai dengan aspirasi mereka," katanya lagi.

Ketua Perunding Perniagaan Ipsos (Malaysia, Singapura dan Filipina) Kiranjit Singh juga menyatakan perasaan terkejutnya dengan dapatan tinjauan itu, namun berkata ia bukan berpunca daripada sikap perkauman atau xenofobia (takut atau benci kepada warga asing).

"Ia berkaitan ekonomi. Golongan yang risau dengan kemasukan pekerja asing adalah golongan yang sama risau dengan pengangguran.

"Ia adalah isu ekonomi dan bukannya perasaan tidak suka kepada pekerja asing.

"Kadar pengangguran di Malaysia adalah pada 3.5 peratus, iaitu di peringkat yang sangat baik. Tetapi jika anda lihat kepada angka sebenar, ia mewakili 550,000 rakyat Malaysia," katanya.

Berkaitan isu tadbir urus, Kiranjit mengesahkan isu itu lebih dipandang serius oleh masyarakat Cina kelas pertengahan.

"Ini selari dengan kajian yang dibuat oleh pihak lain," katanya lagi.