Bekas atlet wanita kebangsaan yang menyerang seorang pemandu Grab, Wayne Chow tidak hadir pada sidang akhbar hari ini di mana mereka sepatutnya bertemu.

Dalam sidang akhbar yang dianjurkan oleh aktivis sosial Kuan Chee Heng itu menyaksikan hanya Chow dan ibunya hadir.

"Jika kedudukan kami bertukar dan saya yang menyerangnya, saya tak berada di sini hari ini - saya akan dipenjarakan," kata Chow dengan sayu.

Chow, 22, berkata beliau hanya mahukan permintaan maaf daripada wanita berkenaan, namun sedia memaafkannya walaupun atlet itu tidak hadir hari ini.

"Memaafkan adalah satu sifat yang baik," katanya.

Chow baru-baru ini mendakwa beliau diserang seorang penumpang wanita, yang merupakan bekas atlet kebangsaan, selepas menumpangkannya pada Jumaat lepas.

Bekas atlet wanita itu bagaimanapun hanya menulis permintaan maaf di laman Facebooknya.

Ibu ucap terima kasih 

Polis tidak mengambil tindakan terhadap kes berkenaan dengan alasan ia "hanya merupakan salah faham".

Chow berkata beliau tidak akan meneruskan tindakan undang-undang atau jenayah terhadap penyerangnya itu kerana ia akan menjadi lebih sukar.

Sementara itu Ibu Chow berterima kasih kepada mereka yang telah menawarkan bantuan kepada anaknya.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan individu yang menunjukkan keprihatinan mereka. Ia menunjukkan bahawa ada harapan di dunia ini dan ada orang yang menghargai kebenaran," katanya.

Berlaku adilah, Grab

Sementara itu, Kuan yang menganjurkan pertemuan antara kedua-dua pihak menggesa Grab menyiasat konflik yang berlaku antara pemandu dan penumpang.

"Saya fikir perkara yang paling penting ialah Grab mesti dengar hujah kedua-dua pihak.

"Saya rasa Grab tidak benar-benar melindungi pemandunya. Dari maklum balas yang saya terima, banyak kali pelanggan bersikap tidak munasabah.

"Saya harap selepas insiden ini, Grab boleh menyiasat dan berlaku adil kepada pemandunya," katanya.

Beliau juga menggesa para penumpang agar bersikap sopan dan menghormati pemandu.

"Mereka bukan nak jadi kaya (dengan memandu). Mereka hanya berusaha mencari nafkah," kata Kuan.