Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Karikatur kecam HARAPAN isyarat 'gendang perang' PAU
Diterbitkan:  Dec 5, 2017 4:41 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

Beberapa jam sebelum persidangan tahunan Umno bermula sudah dapat dibayangkan arah mana ucapan dan perbahasan para perwakilan itu dalam mendepani cabaran politik semasa.

Jika bertahun-tahun dulu 'tembakan' Umno disasarkan kepada PAS dan DAP, kali ini dipercayai ia akan diubah suai sedikit.

Umno dijangka menganggap gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai musuh yang mesti diserang habis-habisan.

Untuk rekod HARAPAN dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) - sebuah parti baru yang dipimpin bekas presiden Umno sendiri.

Tinjauan Malaysiakini di sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini misalnya mendapati sejumlah karikatur dipaparkan di ruang legar bangunan yang bakal menjadi tempat Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 itu.

Berdasarkan lakaran-lakaran politik itu, boleh dikatakan PAS hampir tidak disentuh langsung sebaliknya yang menjadi sasaran ialah PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU.

Memang ada satu lakaran memaparkan PAS, namun ia digambarkan dengan mesej yang bersimpati apabila bidak yang mewakili parti berkenaan dijentik tangan yang dilabelkan sebagai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Suatu ketika dulu PAS menjadi salah satu parti yang mendapat perhatian perwakilan serta pembahas Umno sehinggalah akhir-akhir ini kedua-dua pertubuhan berkenaan dilihat bersikap lunak antara satu sama lain.

Pusingan U Mahathir

Bagaimanapun secara rasmi kedua-dua parti tetap bermusuh dan bersaing sesama sendiri.

PAS sendiri pernah menegaskan mereka tetap menjadi parti pembangkang walaupun sedia bekerjasama dengan sesiapa saja demi kepentingan Islam.

DAP pula menjadi kecaman dengan hujah bahawa ia sebuah parti cauvinis, manakala PKR dan AMANAH secara umum didakwa menjadi boneka kepada DAP.

Pada masa sama BERSATU yang menjadi parti pembangkang paling muda setakat ini tetap dianggap menjadi cabaran kepada Umno.

Walaupun sudah berusia 92 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat tetap berpengaruh di kalangan orang Melayu, termasuk penyokong Umno.

Dengan kedudukannya sebagai pengerusi BERSATU dan HARAPAN, Dr Mahathir turut menjadi perhatian dalam lakaran karikatur di ruang legar PWTC hari ini.

Selain Azmin dan Dr Mahathir, antara pemimpin pembangkang yang mendapat tempat dalam kritikan itu ialah pemimpin Lim Kit Siang, Lim Guan Eng (DAP), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli (PKR) dan Mohamad Sabu (AMANAH).

Antara isu yang dimainkan pula ialah gabungan pembangkang itu didalangi DAP, sikap talam dua muka, Dr Mahathir membuat pusingan U dan kedudukan Islam serta Melayu.

PAU ke-71 akan bermula dengan perasmian persidangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno pada malam ini, sebelum diikuti ucapan dasar presiden, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Dis.

Lihat Komen
ADS