Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar: Sebab apa Mahathir tak berjaya jatuhkan Najib?
Diterbitkan:  Dec 5, 2017 4:45 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya menyingkirkan ramai pemimpin politik sepanjang kerjaya politiknya sebagai perdana menteri selama lebih 20 tahun.

Namun setakat ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih dapat bertahan daripada serangan bertali arus yang dilakukan oleh negarawan itu.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa (gambar) percaya beliau tahu mengapa Mahathir "gagal" dalam misinya untuk menjatuhkan kepimpinan perdana menteri.

"Malam tadi saya makan malam dengan PM di rumah dia, satu kumpulan kecil 4 hingga 5 orang.

"Sambil-sambil makan kita borak sebab apa Tun M boleh menjangkakan dia boleh menjatuhkan Datuk Seri Najib, tiba-tiba Najib tak jatuh sedangkan sebelum ini dia (Mahathir) nak jatuhkan Kuli (Tengku Razaleigh Hamzah), Kuli jatuh.

"Nak jatuhkan Musa (Hitam), Musa jatuh. Nak jatuhkan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), Anwar Ibrahim jatuh. Nak suruh Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) berhenti, Pak Lah kena berhenti.

"Tapi apa dia buat terhadap Datuk Seri Najib, dia tak berjaya sebab apa?

"Sebab perbezaan ialah Najib berkawan dengan saf pimpinan di bawah sebagai satu saf persahabatan dalam perjuangan," kata Annuar.

Beliau bercakap pada konvensyen Penerangan dan Media Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Mahathir sebelum ini menyerang Najib (gambar) selama lebih dua tahun dengan mendakwa perdana menteri itu melakukan banyak kerosakan terhadap negara.

Bekas perdana menteri itu malah membuat keputusan keluar daripada Umno dan membentuk Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yang kini menjadi sebahagian daripada pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (HARAPAN).

Annuar berkata kegagalan Mahathir menjatuhkan Najib menunjukkan bahawa beliau kini tidak lagi mampu berbuat apa-apa.

"Tan Sri Muhyiddin pun dia follow Tun M sebab dia (Mahathir) adalah kingmaker, Tun M boleh buat segala-galanya my way.

"My Way dulunya tetapi no way sekarang ini," kata Annuar.

 

Lihat Komen
ADS