'Kerajaan timbang pemaju mahu teruskan projek mewah'
Kerajaan akan menimbang rayuan pemaju yang berhasrat untuk meneruskan pembinaan hartanah mewah bernilai RM1 juta ke atas di lokasi terpilih di bandar besar untuk pengecualian, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar.
Sehubungan itu, beliau berkata, satu jawatankuasa peringkat kementerian (KPKT) akan ditubuhkan berperanan mempertimbang rayuan itu mengikut kes dan kelulusan permohonan ini akan diberikan mengikut kesesuaian permohonan sehingga pembekuan sementara ini dihentikan.
Katanya, langkah ini diambil selepas kerajaan menerima beberapa maklum balas daripada pihak berkepentingan seperti Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (Rehda) untuk menimbang semula keputusan kerajaan membekukan sementara permohonan baru oleh pemaju bagi membina kompleks membeli-belah, bangunan pejabat, pangsapuri servis dan kondominium yang berharga RM1 juta ke atas pada 1 November lepas.
"Kabinet telah melantik lima menteri termasuk saya untuk membincang dan mengendalikan isu-isu berkaitan pembekuan kelulusan. Kami telah bermesyuarat minggu lalu dan memaklumkan keputusan menimbang rayuan pemaju untuk persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri bersetuju dan meminta saya memaklumkan perkara ini kepada media hari ini.
"Jadi, pemaju yang ingin merayu, perlu membuat permohonan kepada KPKT bagi mendapatkan kelulusan dan kelulusan itu bergantung kepada kriteria membabitkan keadaan rumah sedia ada, bilangan rumah di kawasan tertentu, harga rumah RM1 juta ke atas, berapa jumlah rumah belum dijual serta keperluan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Naib Perdana Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan Kerajaan Mauritius, Fazila Jeewa-Daureeawoo di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Selain Noh, Kabinet juga melantik Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, menganggotai jawatankuasa itu.
Pada 19 November lalu, Johari berkata Kabinet memutuskan pembinaan kondominium dan premis komersial bernilai RM1 juta ke atas dibekukan bagi mengimbangi penawaran dan permintaan hartanah di negara ini mulai 1 November lepas berikutan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai peningkatan hartanah kediaman tidak terjual sebelum ini turut membabitkan kondominium mewah, pejabat komersil dan pusat membeli belah.
Johari dilaporkan berkata pembekuan berkenaan akan dilakukan secara sementara bagi melihat semula strategi pembangunan supaya ia tidak memberi kesan kepada ekonomi negara.
BNM melaporkan terdapat 130,690 unit yang tidak dijual pada suku pertama tahun ini, yang mana 83 peratus daripada hartanah perumahan ini berharga lebih daripada RM250,000, yang menunjukkan terdapat ketidakseimbangan antara permintaan dan juga bekalan di pasaran hartanah.
Selain itu, hartanah komersial juga mengalami lebih tawaran di mana akan terdapat lebih kurang 42 juta kaki persegi ruang pejabat pada tahun hadapan dan setakat suku pertama tahun ini, jumlah ruang kosong kompleks membeli-belah adalah sebanyak 30 juta kaki persegi.
Mengulas lanjut, Noh berkata kelima-lima menteri juga berbincang untuk mengekalkan pembekuan sementara permohonan baharu oleh pemaju untuk membina kompleks membeli-belah dan bangunan pejabat seperti yang dimuktamadkan oleh Kabinet.
"Oleh itu semua pemaju diseru untuk mengambil pertimbangan perniagaan yang baik serta menentu ukur strategi perniagaan untuk kekal berdaya tahan sebelum memulakan projek pembinaan baru perumahan mewah ataupun hartanah komersil memandangkan terdapat ketidakseimbangan di dalam sektor hartanah ini," katanya.

-Bernama

