Najib presiden paling demokratik, siapa saja boleh bertanding - Annuar
Di ambang Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang bakal berlangsung, beberapa pimpinan Umno termasuk Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz mencadangkan agar dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata presiden parti Datuk Sri Najib Razak merupakan pemimpin paling demokratik pernah lahir dalam Umno dan memungkinkan sesiapa saja bertanding jawatan presiden.
Hal ini, katanya, adalah sebaliknya berbanding yang terjadi di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mana calon berpotensi perlu memenuhi kuota sokongan pencalonan oleh bahagian.
“Di bawah Najib, bukan saja tiada lagi kuota (pencalonan), sesiapa saja boleh isi borang dan bertanding.
“Najib merupakan presiden Umno paling demokratik,” kata Annuar.
“Najib tidak sempurna, begitu juga Mahathir, tapi jika bandingkan kedua-duanya, Najib jauh lebih terbuka sebagai pemimpin.
Beliau berkata demikian dalam konvensyen penerangan dan media Umno di PWTC hari ini.
Sebelum ini, naib presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menyokong agar jawatan tertinggi parti kekal disandang Najib sementara timbalan disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pilihan raya parti Umno dijadual akan berlangsung tahun depan.
Najib tidak pernah berdepan pencabar bagi jawatan presiden sejak mengambil alih pada 2009.
Beliau menang tanpa bertanding pada 2009 ketika kuota pencalonan masih dilaksanakan.
Sistem kuota dihapuskan pada 2013, namun Najib sekali lagi tidak perlu bertanding.
Pilihan raya parti itu seharusnya diadakan pada 2016 namun ditangguhkan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

