Menjelang pilihan raya umum ke-14 Pemuda Umno dan BN memulakan inisiatif baru untuk memenangi hati pengundi muda melalui Spam - atau nama penuhnya Skuad Penerangan Anak Muda.

Di sebalik kempen berkenaan, pemilihan nama skuad itu - Span - dilihat menarik perhatian kerana dalam dunia maya, ia juga bermaksud kiriman e-mel secara borong kepada sejumlah besar penerima.

Mengikut amalan lazim e-mel seumpama itu biasanya akan disaring secara automatik oleh penyedia perkhidmatan e-mel.

Skuad Spam itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Memetik kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Umno, Jamawi Jaafar, Bernama melaporkan Spam dianggotai anak muda daripada pelbagai latar belakang termasuk pemidato, penceramah agama dan pengendali media sosial.

Katanya mereka akan memberi penjelasan dan berdialog dengan generasi muda yang tidak menganggotai Umno berhubung isu-isu semasa.

Menurut Jamawi anak muda yang layak mengundi dan menganggotai Umno ketika ini berjumlah kira-kira 1.9 juta orang namun ada kira-kira 15 juta pengundi lagi yang tidak menganggotai mana-mana parti.

"Jadi, mereka ini (anggota Spam) dilengkapkan dengan segala pengetahuan berkaitan isu-isu semasa dan mampu bercerita serta duduk bersembang dengan anak-anak muda dalam kumpulan kecil atau besar di mana-mana sahaja," katanya.

Menurut Jamawi Spam kini dianggotai 280 orang dan jumlah itu akan ditambah selepas ini.

Turut hadir di majlis perasmian itu Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga bekas ketua pemuda Umno serta Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Jalil.