'Runding semula perjanjian tanah era BN kerana rugikan rakyat'
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menafikan dakwaan beliau “menyembunyikan fakta” berkaitan perjanjian tebus tanah tanah pentadbiran BN sebelumnya.
Jawatankuasa Perhubungan Umno Negeri Datuk Zainal Abidin Osman melemparkan tuduhan itu Ahad lalu, mendakwa kerajaan Pulau Pinang menyembunyikan jumlah kerja tebus tanah di bawah pentadbiran BN yang memberi manfaat kepada rakyat kerana tanah berkenaan digunakan untuk membina lebuh raya, rumah pangsa mampu milik dan projek infrastruktur.
Lim bagaimanapun berkata kerajaan Pakatan Harapan telah merundingkan semula perjanjian tanah yang dibuat di bawah pentadbiran BN sebelum 2008.
“Mereka sembunyikan berapa banyak tanah yang telah mereka korbankan untuk memberi manfaat kepada syarikat tetapi merugikan rakyat,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang di Bayan Baru hari ini.
Lim berkata, perjanjian seumpamanya tidak dirunding dengan baik dan sering kali menguntungkan pemaju, merujuk contoh di mana kerajaan BN sebelum ini yang didakwa menjual tanah tambak untuk RM1 kaki persegi.
“Perjanjian asal ini langsung tidak memberikan manfaat kepada rakyat, kerana RM1 sekaki persegi adalah terlalu rendah, kerana apabila tanah telah ditambak ia boleh dijual dengan harga RM500 sekaki persegi.
“Mereka boleh jual dengan harga RM500 sekaki persegi memandangkan kawasan itu akan bernilai lebih tinggi selepas pembangunan. Mereka bukan saja jual tanah untuk RM1 sekaki persegi, tapi juga hanya memperoleh 68 ekar pulangan kepada kerajaan negeri.
“Selepas rundingan semula, kita berjaya mendapatkan 136 ekar, sekali ganda daripada jumlah 68 ekar yang diserahkan kepada kerajaan (sebelum ini),” katanya.
Lim turut merujuk contoh di Butterworth, yang menurutnya pemaju berkenaan hanya diminta menyerahkan lima peratus tanah kepada kerajaan negeri.
“Kita runding semua perjanjian itu dan paksa mereka berikan lebih (tanah), kita kini masih dalam proses rundingan dengan mereka.
“Sangat jelas bahawa pentadbiran kerajaan BN sebelum ini tidak peduli dengan kepentingan rakyat,” katanya.

