Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dirinya sentiasa mengamalkan kesejagatan politik sejak dahulu lagi sehingga hari ini dan prinsip itulah yang dipegangnya ketika beliau dihubungi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada jam 3.30 pagi baru-baru ini.

Kata Ahmad Zahid, prinsip berkenaan juga diamalkan Umno sejak dulu demi kesejahteraan rakyat.

Justeru Ahmad Zahid berkata beliau akan menjadi "buta warna" dalam tiga keadaan.

"Pertama, soal kemanusiaan. Kedua, dalam isu pendidikan, manakala yang ketiga ialah soal keselamatan," katanya.

Ketika rakyat ditimpa banjir katanya Umno mengetepikan perbezaan politik seperti yang terbukti di Pulau Pinang.

“Saat saya dihubungi pada jam 3.30 pagi untuk membantu mangsa banjir (di Pulau Pinang) saya ketepikan perbezaan politik, saya ketepikan segalanya.

“Bak kata pepatah ayam berinduk, sirih berjunjung,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur malam ini.

Sentiasa berjiwa besar

Pulau Pinang dilanda hujan lebat, angin kencang dan banjir yang melanda kira-kira 80 peratus negeri berkenaan pada pada 5 November lalu.

Situasi itu mendorong Lim membuat panggilan telefon kepada Ahmad Zahid bagi mendapatkan bantuan menyelamatkan orang ramai.

Timbalan perdana menteri itu kemudian berjanji untuk menghantar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turun membantu.

Kata Ahmad Zahid Umno tidak mengamalkan agenda sempit atau hanya memperjuangkan nasib umat Melayu semata-mata.

"Umno mengamalkan politik keterangkuman. Umno adalah wadah perjuangan seluruh rakyat dari berbilang kaum.

“Umno adalah tunjang kekuatan kepada Barisan Nasional.

"Kita sanggup berkongsi kuasa bersama rakan komponen bukan sahaja di semenanjung tetapi merangkumi Sabah dan Sarawak.

“Inilah kesatuan politik matang dan dinamik yang Umno amalkan dalam membina bangsa.

"Umno sentiasa berjiwa besar dan mewarisi formula kesejagatan politik. Natijahnya, prinsip Rukun Negara yang kita tatang selama ini merupakan kunci kedinamikan politik Umno,” katanya.