Sebuah pertubuhan mewakili Rangkaian Pemantauan Transnational Asia mengecam tindakan Jabatan Imigresen Malaysia yang didakwa melakukan kekasaran ke atas seorang pemimpin kesatuan sekerja Bangladesh.

Dalam kenyataan dibuat semalam, pertubuhan itu menuntut Malaysia menjalankan siasatan ke atas pegawai imigresen yang gagal membenarkan Tapan Saha memasuki negara ini.

Mereka juga menuntut wang yang didakwa diambil daripada Tapan dikembalikan.

Turut dituntut ialah:

  • Menjelaskan dan membatalkan status pengusiran Tapan kerana ia akan menjejaskan kedudukan visa akan datangnya untuk ke negara lain
  • Memberikan pampasan kepada Tapan kerana dia mengalami kerugian akibat "kecuaian" pegawai imigresen

Tuntutan Pusat Sumber Pemantau Asia itu dibuat kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan salinannya diedarkan kepada media.

Menurut kenyataan itu alasan pengusiran Tapan adalah tidak dapat diterima akal, manakala cara yang diambil pula didakwa mereka tidak berperikemanusiaan.

"Di sebalik segala usaha dibuat Tapan untuk menjelaskan serta membuktikan dia tidak melanggar undang-undang, pegawai imigresen tidak membenarkan dia memasuki Malaysia.

"Tapan yang berkhidmat sebagai setiausaha agung Kesatuan Pekerja Pakaian Tekstil Bangladesh sepatutnya menghadiri persidangan Rangkaian Pemantauan Perbadanan Transnasional Asia pada 17 hingga 21 Nov di Kuala Lumpur.

"Dia menyediakan segala dokumen yang diperlukan dan membawa surat jemputan rasmi," katanya.

Tapan juga didakwa mendapat visa daripada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh pada 22 Okt lalu.

Bagaimanapun Tapan yang tiba pada 17 Nov ditahan pegawai imigresen selama dua hari.

Memetik kenyataan Tapan, pertubuhan itu mendakwa pegawai imigresen merampas telefon bimbitnya, selain menggunakan kata-kata kesat kepadanya.

Dia juga mendakwa dikasari secara fizikal dan mental.

Sepanjang tempoh dua hari ditahan itu Tapan mendakwa tidak mendapat layanan sepatutnya, seperti lewat diberikan makanan, wangnya diambil, tiada katil untuk tidur dan berdepan diskriminasi perkauman.

"Pegawai jabatan imigresen bertindak secara tidak berperikemanusiaan terhadap seorang warga asing layak memasuki Malaysia.

"Ia tidak wajar dilakukan kerana tiada sebarang kesalahan dilakukan Tapan sejak dia dibenarkan memasuki Malaysia dan mendarat di lapangan terbang.

"Kami berharap keadilan dapat ditegakkan," kata pertubuhan berkenaan.

Rangkaian Pemantauan Perbadanan Transnasional Asia itu mendakwa mewakili pelbagai pertubuhan kesatuan sekerja di Thailand, Hong Kong, Filipina, Malaysia, Korea Selatan, Indonesia, India, Kemboja, Bangladesh, Myanmar, Taiwan, Sri Lanka, Jepun dan Pakistan.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Imigresen berhubung perkara ini.