Datuk Bandar janji pindah penduduk Kg Saujana ke Monterez Kayangan
Penduduk setinggan Kampung Saujana, Shah Alam hanya mahu berpindah ke Monterez Kayangan seperti yang dijanjikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Ramli Mahmud.
Penduduk setinggan Kampung Saujana, Shah Alam hanya mahu berpindah ke Monterez Kayangan seperti yang dijanjikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Ramli Mahmud.
Ketua Jawatankuasa Bertindak Kampung Saujana, M Sambasivam (
kiri
) berkata, Ramli yang memutuskan pemindahan mereka ke Monterez Kayangan dalam satu perjumpaan dengan penduduk tidak lama dahulu.
Katanya, penduduk setuju dengan cadangan tersebut, memandangkan jaraknya tidak jauh, kira-kira lima kilometer dari kampung asal.
Beliau berkata, Ramli juga memberitahu bahawa penduduk hanya akan dipindahkan ke Monterez Kayangan apabila projek perumahan tersebut siap sepenuhnya Disember atau Januari depan.
"Jadi kami semua sepakat untuk berpindah apabila rumah itu siap dan perkara ini dipersetujui oleh Ramli," katanya ketika datang ke pejabat malaysiakini hari ini.
Malaysiakini yang menghubungi Pejabat Datuk Bandar diberitahu bahawa Ramli sedang bermesyuarat dengan para pegawai MBSA.
Sambasivam berkata, penduduk awal-awal lagi menolak cadangan pemindahan ke Bukit Subang kerana mereka hanya diperuntukkan kediaman di tingkat enam rumah pangsa di situ.
Bina semula rumah
Katanya, cara ini tidak adil kerana sebahagian kecil penduduk Kampung Saujana terdiri daripada orang tua, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, Sambasivam berkata, penduduk di Kampung Saujana telah siap membina semula rumah mereka yang dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
"Tiga puluh lima keluarga terbabit telah pun kembali menduduki rumah masing-masing," katanya.
Menurutnya lagi, ada pegawai MBSA yang datang meninjau keadaan kampung tersebut baru-baru ini, tetapi membiarkan sahaja penduduk terbabit membina semula rumah mereka.
Sambasivam juga menjelaskan Natchimuthu Subramaniam yang kerap mendakwa sebagai penduduk Kampung Saujana sebenarnya telah berpindah ke kampung lain sejak enam bulan lalu.
Katanya, Natchimuthu sering membuat kenyataan yang bercanggah dengan kehendak penduduk sehingga menyusahkan mereka termasuk dalam kes operasi baru-baru ini.
Baru-baru ini Natchimuthu dilaporkan sebagai berkata, penduduk Kampung Saujana sengaja tidak mahu berpindah, menyebabkan operasi merobohkan rumah mereka dilakukan.

