Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAU2018 I Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini memberikan penjelasan mengapa pemimpin Umno yang kini lantang menyerang kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berbuat demikian ketika bekas perdana menteri itu berkuasa.

"Ada pula yang mungkin kata, kenapa dulu senyap? Tak cakap apa-apa? Jawapan mudahnya, dulu tiada kebebasan bersuara, baik di luar mahupun di dalam parti.

"Surat khabar yang kritikal ditutup. Pengkritik-pengkritik politik dicekup dan dihumban ke penjara dalam Ops Lalang," kata Khairy hari ini.

Bercakap di Perhimpunan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, Khairy membangkitkan insiden Memali, sekatan terhadap badan kehakiman, penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sebagai bukti Mahathir berusaha menghapuskan perbezaan pendapat.

Ucapannya berkisar mengenai Mahathir, yang kini mengetuai gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Dalam parti, kerajaan dan negara wujud a culture of fear. Kuku besi. Sekarang dia bercakap macam dia orang suci dan kita pula yang zalim dan diktator," katanya.

Khairy berkata HARAPAN dan Mahathir kini hanya bergantung kepada nostalgia untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, beliau berkata tidak semuanya baik semasa era Mahathir.

Beliau menyebut bagaimana pada masa itu, 'tauke-tauke' mendapat manfaat daripada dasar Mahathir sementara rakyat menanggung kerugian.

'Fokus bina monumen gergasi'

Khairy menyalahkan tumpuan Mahathir membina projek-projek mega berbanding menangani masalah ekonomi semasa seperti gaji yang rendah, pengangguran dan peningkatan hutang yang dihadapi rakyat Malaysia.

"Realitinya, kesemua masalah ini juga adalah satu legasi.

"Bila mana pentadbiran dahulu wawasannya lebih untuk membina monumen gergasi tetapi tidak untuk membangunkan rakyatnya sendiri. Selepas itu, barulah ada usaha untuk mengisi kelompongan yang ada.

"Zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), baru kita beri fokus kepada pembangunan modal insan," katanya.

Beliau menggesa rakyat pada PRU akan datang menilai pilihan mereka dengan teliti, serta mempertimbangkan baik dan buruk sebelum membuang undi.

Lihat Komen
ADS