Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pakatan Harapan (HARAPAN) nampaknya sudah ketandusan tokoh berkaliber sehingga terpaksa mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika menang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, kata Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Naib Presiden PAS itu berkata, HARAPAN sepatutnya melihat ke hadapan dengan menampilkan calon baru yang lebih layak, bukannya 'mengitar semula' bekas perdana menteri itu.

Mengakui Mahathir mempunyai pengalaman dan kebijaksaan tersendiri, Mohd Amar (gambar) bagaimanapun menyifatkan zaman tokoh itu sudah lama berlalu.

"Dah tak ada calon lain? Takkan di kalangan mereka yang ramai itu, tiada calon lain.

"Kita akui mungkin Mahathir ada pengalaman dan kebijaksanaan, namun masanya sudah berlalu," katanya yang juga timbalan menteri besar Kelantan ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata lagi, HARAPAN seharusnya memberikan pilihan baru kepada rakyat apatah lagi selepas mengambil kira rekod dan 'beban' yang dikumpul Mahathir sepanjang 22 tahun mentadbir negara.

HARAPAN dilaporkan mencadangkan Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya, ketika pemukiman gabungan pembangkang itu di Putrajaya minggu lalu.

Ia mengundang pelbagai reaksi termasuk di kalangan penyokong HARAPAN sendiri, yang dilihat tidak senang dengan cadangan itu.

Terbaru, PKR selepas mesyuarat biro politiknya semalam berkata parti itu belum membuat keputusan muktamad berhubung soal itu.

Untuk rekod Dr Mahathir ialah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) merangkap pengerusi HARAPAN. Dr Wan Azizah pula dipilih sebagai presiden gabungan empat parti pembangkang itu.

Lihat Komen
ADS