Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno S'ngor selar Zaid, rancang himpunan sokong sultan

Umno Selangor merancang mengadakan "himpunan rakyat" untuk menyatakan sokongan penuh kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata himpunan itu dirancang selepas pemimpin DAP, Datuk Zaid Ibrahim membuat kenyataan yang didakwanya telah mengguris perasaan rakyat Selangor.

Zaid semalam berkongsi berita Malaysiakini dengan kapsyen berbunyi "Sultan Selangor perlu berhati-hati dengan kata-kata beliau, tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar".

Zaid berkata demikian sebagai respons terhadap titah Sultan Selangor yang menyatakan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad akan 'membakar seluruh negara dengan api kemarahannya'.

Dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, Noh menyifatkan kenyataan Zaid sebagai 'biadap dan kurang ajar' terhadap Sultan Selangor.

"Ini menunjukkan statement yang dibuat zaid yang merupakan pemimpin yang dah lapuk, yang dah tak ada harga diri, seorang pemimpin yang dulu pernah jadi menteri BN umno, kemudian kejar jawatan lari masuk PKR.

"Bertanding di Hulu Selangor, kalah, lari pula masuk KITA, kemudian masuk dalam DAP, jadi barua kepada DAP.

"Inilah makanya beliau buat kenyataan-kenyataan yang menyinggung perasaan kami rakyat negeri Selangor yang cuba mencabar kedaulatan Selangor," katanya.

Noh berkata perhimpunan itu akan diadakan pada Ahad ini di hadapan istana Sultan Selangor di Shah Alam, selain laporan polis juga akan dibuat terhadap pemimpin berkenaan.

"Kita akan minta bangkit seluruh Selangor untuk kita berdiri teguh di belakang Sultan Selangor," katanya.

Sementara itu menurut Noh, kerajaan Selangor yang dipimpin Datuk Seri Azmin Ali sepatutnya memberitahu Mahathir agar meminta maaf kepada sultan atas kenyataan yang mengaitkan masyarakat Bugis sebagai lanun.

"Sepatutnya kerajaan negeri berdiri teguh di belakang sultan. Seperti Azmin. Dia dilantik sultan jadi MB.

"Bukan dilantik DAP. Sepatutnya kerajaan negeri yang buat usul tidak benarkan Mahathir beri ceramah di premis kerajaan negeri. Apa yang dibuat kalau Umno nak guna padang dewan kerajaan negeri, dia tak benarkan.

"Itulah hari ni orang tak hormat (sultan). Kalau MB tak hormat Sultan, apatah pula Zaid Ibrahim," katanya.

Lihat Komen
ADS