Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahrizat kagum kesabaran luar biasa Rosmah

PAU2017 I Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menyatakan kekaguman dan melahirkan penghargaan terhadap isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor atas kesabaran di sebalik dugaan yang dilaluinya.

Beliau berkata walaupun menghadapi pelbagai cabaran, namun Rosmah mempunyai kesabaran yang disifatkannya sebagai luar biasa.

“Malah di kesempatan bersejarah ini, seluruh Pergerakan Wanita Umno ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Datin Seri Rosmah Mansor kerana ‘brainchild’ Permata beliau kini berjaya menjadi mercu tanda intelek bangsa.

“Permata kini menjadi gedung kelahiran para ilmuan dan cerdik pandai anak Malaysia. Inilah sebenar-benar khazanah yang kita miliki,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Shahrizat dalam pada itu berkata Wanita Umno berbangga kerana Rosmah telah memberi dorongan kepada kewujudan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan seterusnya terhadap usaha penubuhan Mahkamah Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Terdahulu, Dewan Tun Dr Ismail, PWTC yang dipenuhi 973 perwakilan hening seketika apabila Shahrizat sebak ketika membacakan doa untuk para pejuang Wanita Umno yang telah meninggal dunia.

Mereka termasuk Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon, Datuk Wira Maznah Hamid, Hapsah Khalid, Aminah Manaf, Norahan Abu Bakar dan Ramlah Ismail. -Bernama

Lihat Komen
ADS