Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

PAU 2017 | Patung Datuk Zaid Ibrahim dibakar di luar perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini sebagai amaran kepada pemimpin DAP itu agar tidak sekali-kali berlaku biadap kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Bahagian Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos melakukan tindakan tersebut ditengah-tengah kehangatan Persidangan Agung Umno (PAU) kali ke-71 2017.

Jamal membuat gimik membakar 'Zaid' lengkap dengan kata-kata 'pengkhianat kurang ajar biadap' susulan kenyataan bekas menteri undang-undang itu yang didakwanya telah mengguris perasaan rakyat Selangor.

“Beliau sekali lagi telah pun menghina dan biadap terhadap sultan kami jadi saya nak beritahu Zaid Ibrahim ini, langkah mayat kami dulu sebelum beliau berani mengeluarkan perkataan-perkataan cukup biadap kepada Sultan Selangor .

“Saya rasa kami perlu ajar Zaid Ibrahim kali ini kerana perbuatan yang sangat biadap dan keterlaluan.

“Bagi saya sudah cukup, sudah sampai waktunya apa yang beliau buat itu langsung kami tak boleh terima,” kata Jamal sambil disaksikan orang ramai yang keluar masuk ke PWTC.

Zaid semalam berkongsi berita Malaysiakini dengan kapsyen berbunyi, "Sultan Selangor perlu berhati-hati dengan kata-kata beliau, tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar".

Zaid berkata demikian sebagai respons terhadap titah Sultan Selangor yang menyatakan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad akan 'membakar seluruh negara dengan api kemarahannya'.

Mengulas lanjut, Jamal berkata Zaid Ibrahim boleh melemparkaan kata-kata kesat kepada dirinya tetapi bukan kepada Sultan Selangor.

“Kalau awak nak maki saya tak ada masalah, siang dan malam, 24 jam pun tak apa tetapi jangan sekali-kali menghina, mengaibkan, mengeluarkan perkataan biadap terhadap Sultan kami iaitu Sultan Selangor,” tegas Jamal.
 

Lihat Komen
ADS