Anggota Umno yang tidak dipilih sebagai calon Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) diminta mempraktikkan konsep ‘wala’ dengan terus setia kepada pemimpin dan tidak mensabotaj parti.
Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) Datuk Zulkarnain Mahdar berkata sebahagian masalah yang dihadapi Umno pada pilihan raya umum lepas wujud kerana adanya sabotaj undi dalam kalangan sesetengah pemimpin dan anggota Umno.
"Sebagai manusia biasa, perkara ini berlaku disebabkan kemungkinan mereka tidak dicalonkan pada pilihan raya sehingga menyebabkan penyokong mereka (anggota-anggota Umno) sendiri mengundi pihak lawan.
"Sekiranya konsep 'wala' ini dihayati dengan mengutamakan prinsip perjuangan untuk survival agama, bangsa dan negara, sudah tentu siapa sahaja calon yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti mewakili Umno pada PRU14 nanti akan mendapat sokongan padu," katanya.
Zulkarnain yang juga Pengerusi Pakatan NGO Pro-Barisan Nasional berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui sempena Perhimpunan Agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Waspada Umno hilang kuasa
Justeru itu, katanya, perhimpunan agung kali ini dilihat sebagai medan penting bagi menyerap semangat 'wala' ke dalam diri setiap pemimpin Umno dan kemudian membawa pula semangat itu kepada bahagian dan cawangan masing-masing untuk diterjemahkan pada pilihan raya umum akan datang.
Zulkarnain berkata pemimpin Umno di semua peringkat harus sentiasa berwaspada mengenai ancaman Umno akan kehilangan kuasa pada PRU Ke-14 nanti.
"Benteng terakhir bagi masyarakat Melayu Islam dan Bumiputera terletak pada Umno yang mempunyai bilangan kerusi Parlimen terbanyak ketika ini. Situasi berada dalam zon selesa harus dikikis oleh setiap kepimpinan dan ahli," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang dipelopori oleh Umno tanpa membelakangkan warganegara bukan Bumiputera sebenarnya hanya berlaku di Malaysia sahaja.
"Tidak wujud sama sekali agenda pemerkasaan Bumiputera yang seumpama ini untuk mana-mana bangsa lain di dunia melainkan di Malaysia (merujuk kepada Bumiputera).
"Atas sebab inilah, keseluruhan pimpinan Umno harus mengutamakan kemenangan parti walaupun ada di antara mereka yang tidak terpilih menjadi calon demi masa depan Melayu keseluruhannya, Islam dan survival Bumiputera di Malaysia," katanya.
-Bernama
