PAU 2017 l Pemuda Umno Sabah mencabar anggota parlimen yang sudah memegang jawatan lama untuk melepaskan jawatan dan beri ruang kepada golongan muda.

Perwakilan Pemuda Umno Sabah Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, cabaran itu ditujukan kepada anggota parlimen dan anggota dewan undangan negeri (ADUN) yang sudah berkhidmat untuk lebih tiga penggal.

“Cukup-cukuplah.. tulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak... Beri ruang kepada anak muda.

“Jawatan-jawatan ini bukan mak bapak kita punya, ni Umno punya,” katanya pada perhimpunan pemuda Umno di PWTC di Kuala Lumpur hari ini.

Khairul berjenaka dengan mengatakan kenyataannya itu ibarat bunuh diri.

Bagaimanapun Khairul berkata, tak ada satu orang pun calon dari kalangan Pemuda Umno Sabah yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum sejak 10 tahun lepas.

Sebaliknya, landskap politik didominasi oleh ahli politik veteran yang sudah menjawat jawatan sejak Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) pada 1970.

“Pada 2017 mereka masih memimpin, masih kata perjuangan mereka belum selesai. Di mana logik hal ini?” soalnya.

Khairul berkata Pemuda Umno Sabah mempunyai ramai calon berkelayakan yang boleh bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya lagi, bekas naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengambil langkah yang bijak dengan menubuhkan parti berasaskan negeri Parti Warisan Sabah.

Khairul bagaimanapun menambah, sumbangan Shafie kepada rakyat Sabah adalah hasil pertolongan Umno.

“Shafie hebat kerana Umno... cerita yang beliau hebat kerana diri sendiri adalah tidak benar,” katanya.

[Baca berita penuh]