Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Indonesia bantah ibu kota Israel dipindah ke Baitulmaqdis
Diterbitkan:  Dec 6, 2017 6:54 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

GLOBAL l Indonesia menolak keras hasrat Presiden AS Donald Trump yang dijangka akan mengumumkan pengiktirafan pemindahan ibu kota Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Pengiktirafan yang akan dibuat Trump malam esok itu dijangka seiring dengan pengumuman memindahkan Kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Jerusalem yang terletak di Baitulmaqdis.

Dalam satu pertemuan bagi membahas rancangan AS itu yang diadakan di Jeddah, Arab Saudi 4 Disember lalu, Wakil Tetap Republik Indonesia untuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Agus Maftuh Abegebriel mengecam rancangan Trump yang akan menjejaskan keamanan di Timur Tengah.

"Hal ini merupakan langkah yang salah arah dan dapat mengganggu proses perdamaian di kawasan (Timur Tengah). Indonesia juga sangat khuatir dengan kesan buruk perpindahan Kedutaan Besar Amerika dari Tel Aviv ke Jerusalem," katanya seperti dilapor CNN Indonesia.

Dalam pertemuan itu, Agus yang juga duta Indonesia untuk Arab Saudi berkata, Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsuadi telah memanggil duta AS di Jakarta bagi menyampaikan kebimbangan Indonesia.

Indonesia turut menyeru semua negara anggota OIC memberi sokongan kepada Palestin seperti yang sudah disepakati negara-negara anggota.

Dalam perkembangan sama, kerajaan Kanada mengumumkan mereka tidak berhasrat untuk memindahkan kedutaannya di Israel ke Baitulmaqdis dan akan kekal di Tel Aviv.

Negara lain yang menyatakan kekhuatiran berkenaan hasrat Trump yang akan menjejaskan keamanan di Timur Tengah itu termasuk sekutu AS sendiri seperti Perancis, Arab Saudi dan Turki.

Sementara itu, media melaporkan Pope Francis turut menyatakan kebimbangan berkenaan perkembangan itu dan meminta agar 'status quo' di tanah yang dianggap tanah suci bagi agama Kristian, Yahudi dan Islam itu dihormati.

Ketua Gereja Roman Katolik itu berkata demikian selepas  pertemuan  dengan sekumpulan warga Palestin yang terlibat dengan dialog antara agama dengan Kota Vatican.

Kota Vatican merupakan ibu pejabat Gereja Roman Katolik di Itali yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Lihat Komen
ADS