PAU 2017 |  Selama 71 tahun ditubuhkan, Umno yang menjadi tunjang kepada kerajaan pemerintah bukan sahaja berjaya menggalas tanggungjawabnya dengan baik, bahkan telah memberi seribu ‘keceriaan' kepada 32 juta rakyat di negara ini menerusi pelbagai program dan bantuan, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, petik agensi berita tempatan.

Bernama melaporkan Ahmad Shabery Cheek berkata hanya Umno yang mampu memberikan keceriaan kepada keseluruhan rakyat dengan memberikan perhatian penuh soal kebajikan seawal usia bayi hingga warga emas.

“Dalam masyarakat Melayu, Umno menjadi institusi tempat mereka bersandar bukan bergantung...daripada anak kecil dilahirkan, ibu yang mengandung, soal pelajaran, sakit demam hinggalah ke universiti dan perumahan serta kebajikan lain, ia adalah hasil daripada perjuangan Umno,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu dipetik Bernama sebagai berkata bukan sahaja dalam soal pembangunan fizikal yang diberikan penekanan, sebaliknya sektor pertanian juga dipandang serius oleh kerajaan sehingga mampu memasarkan produk buah-buahan tempatan iaitu durian Musang King ke China yang kini mencecah RM180 untuk 400 gram.

Dalam laporan itu, Bernama juga memetik seorang lagi Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (gambar, atas) berkata perjuangan Umno sejak dari dahulu untuk membantu rakyat tidak pernah terpadam malah diperkasakan lagi dengan mewujudkan Biro Kebajikan Umno (Bikum).

"Sama ada rakyat mendapat nikmat secara terus daripada parti atau nikmat daripada pelbagai agensi kerajaan, yang sebahagian besar dicadang oleh parti ini.

"Sebab itu rakyat sebenarnya memperoleh pelbagai bentuk bantuan yang akhirnya menceriakan mereka kerana mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

"Tidak banyak negara yang memberi bantuan kepada rakyat sedemikian rupa seperti yang dilaksanakan Umno baik dalam aspek pendidikan, pembangunan prasarana, kesihatan dan sebagainya yang kalau kita nak sebut satu persatu tidak tersebut kita,” kata Shamsul Anuar yang juga merupakan Pengerusi PTPTN, lapor Bernama.

Persidangan Agung Umno (PAU) 2017 bermula 5 Disember sehingga 9 Disember ini di PWTC melibatkan 5,739 perwakilan.