Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada perwakilan nafi GST, kos sara hidup jadi beban

PAU 2017 |  Semua pihak termasuk selebriti berhak membuat kenyataan berhubung pentadbiran negara serta kenaikan kos sara hidup bagaimanapun golongan itu perlulah berhati-hati dalam menjaga percakapan memandangkan mereka mempunyai pengikut yang ramai.

Pendapat itu diberikan perwakilan yang hadir dalam Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU2017) hari ini bagi mengulas kenyataan yang diberikan oleh 'Ratu Jazz Negara' Shiela Majid yang mengeluh mengenai kenaikan kos sara hidup.

Selain itu Shiela turut melahirkan kekecewaannya mengenai kelemahan ringgit yang kian merosot.

Tinjauan Malaysiakini mendapati perwakilan mengakui kenaikan harga barangan serta kos sara hidup namun buat mereka ia bukan bebanan berat dan sebagai penyelesaian mereka hanya perlu bekerja lebih keras untuk menambah pendapatan.

Bagi Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Gua Musang Mastura Hatta, 31 berkata walaupun Shiela mengeluh kos sara hidup yang tinggi, namun ekonomi negara masih berada dalam keadaan stabil jika dibandingkan dengan negara jiran.

“Memang saya terasa (kos sara hidup) tapi masih terkawal. Setakat ini saya boleh maintain sebab kita bekerja. Buat dua tiga kerja, insya Allah tak ada masalah.

“Tapi pendapat masing-masing. Cuma sebab dia artis. Pendapat dia didengari ramai, tak macam orang kampung. Orang-orang kampung ada pendapat sendiri tapi suara-suara kecil,” katanya.

Bagi Siti Rohila Ishak dari Permatang Pauh pula berkata meskipun agak terasa dengan kenaikan kos sara hidup seperti dinyatakan oleh Shiela namun kehidupan tetap perlu diteruskan.

Bagaimanapun wanita berusia 50 tahun itu berkata Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak memberikan kesan kepadanya.

“Kos sara hidup terasa, anak ramai tapi GST tak beri kesan, kita beli barang tak terasa pun. Resit keluar kita bayar sajalah. Barang mahal ke murah kita tetap macam tu,” katanya.

Manakala bagi Ketua Puteri Cawangan Felda Bukit Aping Rohana Suleiman pula berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Shiela memberikan kesan kepada rakyat terutamanya apabila selebriti itu mempunyai pengikut yang ramai.

“Artis perlu kawal diri dari beri kenyataan. Macam (artis) Aisyah sebelum ini beri kesan sebab dia artis, pujaan orang ramai.

"Artis jadi idola dan setiap butir bicara tak boleh sembarangan sebab ada orang yang mengikut,” katanya yang juga seorang peniaga.

Selain itu AJK Umno Bahagian Sungai Besar Mazatul Akmar Jalil pula berkata golongan selebriti berhak menyatakan pendapat mereka namun seterusnya tindakan kerajaan untuk menentukan sama ada ia didengari atau sebaliknya.

“Artis pun manusia biasa, dia bukan pemerintah dia sekadar boleh beri pendapat akhirnya pemerintah yang tentukan sama ada perlu didengari atau tidak.

"Pengaruh artis beri peranan mungkin beri kesan juga, kalau misal kata pemerintah kita lihat segi positif, kerajaan akan main peranan dia supaya perkara tu tak berpanjangan,” katanya.

Semalam penyanyi popular Sheila Majid menarik perhatian warga Internet apabila beliau mengeluh kos hidup yang tinggi dan nilai ringgit yang lemah di Twitter.

Pendirian tegas penyanyi lagu Sinaran itu kini menjadi tular di Internet.

Kritikan pedas itu dianggap sebagai tamparan hebat kepada Umno kerana dibuat menjelang perhimpunan agung Umno di ibu negara yang bermula hari ini.

Kenyataan itu muncul selepas rakan artis Fathia Latiff membela bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berdepan laporan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkaitan kerugian Bank Negara pada 90-an yang tidak memihaknya.

 

Lihat Komen
ADS