Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Skandal NFC tak jejas sokongan Shahrizat tanding PRU14'

PAU 2017 | Rata-rata Wanita dan Puteri Umno menyokong sekiranya Datuk Seri Shahrizat Jalil kembali bertanding dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

Namun bagi mengembalikan semula kepercayaan orang ramai, bekas menteri itu perlu memberikan penerangan khusus berkaitan susulan kontroversi National Feedlot Corporation (NFC).

Pendapat itu diberikan perwakilan ketika ditemui Malaysiakini ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Isnin lalu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap Ketua Wanita Umno itu diberikan jawatan ‘teramat penting’ selepas PRU14.

Zahid bagaimanapun tidak menerangkan secara lanjut bentuk jawatan yang dimaksudkan itu.

Bagi Ketua Puteri Cawangan Felda Bukit Aping Rohana Suleiman, Shahrizat merupakan idolanya kerana sering memberikan semangat kepada golongan wanita untuk sentiasa kehadapan.

Namun katanya sekiranya Shahrizat ingin bertanding pada PRU14, beliau perlu memberikan penerangan berkaitan NFC supaya rakyat boleh memahami apa yang berlaku.

“Dia adalah idola, pencetus untuk bawa semua wanita lebih kuat, siap siaga tanpa mengira titik peluh. Saya tak ada masalah kalau dia nak bertanding.

“Mesti ada tapi penerangan yang jelas, isu datang, jawapan yang jelas Insya Allah (rakyat faham),” katanya kepada Malaysiakini.

Bagi Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Sungai Besar Mazatul Akmar Jalil pula berkata pihaknya memerlukan peranan Shahrizat terutamanya dalam membawa isu berkaitan wanita.

Namun katanya walaupun Shahrizat terpalit dengan kontroversi itu, undi tetap akan memihak kepadanya serta semua pihak seharusnya melihat penglibatan bekas Anggota Parlimen Lembah Pantai itu dari sudut positif.

“Dia patut bertanding. Dia dapat menyuarakan apa yang wanita perlukan secara keseluruhannya.

“Saya rasa tak kot (undi terjejas) sebab kita kena lihat secara matang dan orang akan lihat segi positif. Banyak orang buat salah tapi kesilapan perlu diperbaiki,” katanya.

Manakala bagi Wanita Umno Bahagian Permatang Pauh Siti Rohila Ishak berkata walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan kepada Shahrizat, beliau tetap akan memberikan sokongan walau apapun yang berlaku.

“Dari dulu memang sokong dia kalau boleh biar berterusan. Kalau dia bertanding PRU, kami wanita Permatang Pauh sokong dia. Dia banyak bantu wanita. Memang sokong la.

“NFC ada beri kesan tapi tak banyak. Skandal itu boleh jejaskan tapi kami tetap menyokong walau apa pun yang disiarkan di berita kami tetap akan sokong Tan Sri Shahrizat,” katanya dengan menyatakan sokongan sambil mengangkat tangan.

Selain itu bagi AJK Umno Bahagian Gua Musang Mastura Hatta pula berkata Shahrizat perlu bertanding kerana beliau mempunyai ‘energy’ yang baik kerana mampu bawa suara rakyat, serta membawa hasrat wanita

Mastura turut berkata NFC tidak akan memberi kesan kepada pengundi kerana Shahrizat mampu mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Tak ada masalah. Dia boleh kembalikan kepercayaan rakyat,” katanya.

Isnin lalu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap Ketua Wanita Umno itu diberikan jawatan ‘teramat penting’ selepas PRU14.

Shahrizat sebelum ini merupakan Anggota Parlimen Lembah Pantai 1995 sehingga 2008 namun kalah kepada Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Beliau juga merupakan bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia bagaimanapun berundur dari jawatannya susulan kontroversi NFC.

Shahrizat melepaskan jawatannya daripada Kabinet pada 11 Mac 2012, sebulan sebelum tempohnya sebagai ahli Dewan Negara berakhir.

 

Lihat Komen
ADS